malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Liridon, Andik 'musuh utama' Kelantan di Kota Bharu
Diterbitkan:  Sep 6, 2018 4:51 PM
Dikemaskini: 8:53 AM
ADS

PIALA MALAYSIA | Dua pemain import Kedah, Liridon Krasniqi dan Andik Vermansyah, perlu diberi kawalan ketat untuk mencerahkan peluang Kelantan mengisi slot suku akhir Piala Malaysia pada pertemuan terakhir peringkat Kumpulan C 16 Sept ini.

Penjaga gol Kelantan Mohamad Faridzuean Kamaruddin berkata dua pemain itu mempunyai kemahiran tinggi bagi membantu Kedah melakukan sesuatu pada pertemuan di Stadium Sultan Muhammad IV itu nanti.

“Kedua-dua pemain ini tidak boleh dibiarkan tanpa kawalan kerana terbukti mereka mampu mejaringkan gol ketika Kedah bertemu JDT pada saingan peringkat kumpulan yang lalu.

"Bukan itu sahaja, pemain muda Kedah juga mempunyai kualiti yang tinggi ketika beraksi di tempat sendiri mahupun di tempat lawan,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad Faridzuean berkata dia cukup bersemangat untuk meneruskan rentak kecemerlangan mengawasi gawang Kelantan daripada dibolosi walaupun tahu ia merupakan tugas yang amat sukar.

"Saya cukup bersemangat apabila berjaya mempertahankan gawang daripada dibolosi sepanjang 90 minit perlawanan menentang MISC-MIFA Jumaat lepas dan akan bertekad mengulangi perkara itu ketika pertemuan dengan Kedah nanti,” katanya.

Kelantan kini berada di kedudukan tercorot dalam Kumpulan C selepas mengumpul lima mata hasil satu kemenangan, dua seri dan dua kekalahan.

Mereka perlu menang dalam pertemuan menentang Kedah bagi memastikan terus kekal beraksi dalam Piala Malaysia selepas tersingkir ke Liga Premier musim depan.

- Bernama

Lihat Komen