malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Ronaldo 'diaibkan' anak sendiri
Diterbitkan:  Sep 3, 2018 4:24 PM
Dikemaskini: 8:44 AM
ADS

Tuah ayam - kata orang - nampak di kaki, tetapi kadang-kadang di kaki jugalah letaknya tuah manusia, seperti dibuktikan Cristiano Ronaldo Jr.

Anak sulung Cristiano Ronaldo itu membuat kemunculan pertama bersama skuad bawah sembilan tahun kelab Juventus.

Dan ketika si bapa masih bergelut untuk menyesuaikan dirinya bersama kelab baru berpangkalan di Turin Itali itu, Ronaldo Jr nampak lebih bertuah.

Ronaldo Jr dilaporkan sudah menjaringkan empat gol untuk skuad muda Juventus sejak menyertai kelab berkenaan akhir Ogos lalu.

Untuk rekod Ronaldo Jr mengikut bintang dari Portugal itu ke Itali selepas dia berkhidmat beberapa tahun di Real Madrid.

Tidak seperti semasa beraksi di Sepanyol, Ronaldo si bapa masih belum mencetak sebarang jaringan untuk kelab elit Serie A itu sepanjang tiga kali diturunkan bersama Juventus setakat ini.

Dan untuk membuktikan pembelian itu berbaloi buat Juventus, Ronaldo perlu menunggu sehingga cuti pendek saingan liga kelab dunia berakhir dua minggu lagi.

Juventus dijadual bertemu Sassuolo pada perlawanan berkenaan.

 

 

Mengulas mengenai prestasi Ronaldo Jr, Ronaldo berkata kegigihan anaknya yang baru berusia lapan tahun itu memang membanggakan.

"Dia sangat rajin, berdaya saing - sama macam saya semasa muda," kata Ronaldo, 33.

Pada masa sama Ronaldo juga berazam mahu mengajar anaknya itu beberapa taktik yang selama ini membantunya menjadi antara pemain terbaik dunia.

"Dia tak suka kalah, sama macam saya.

"Saya juga akan ajar dia beberapa rahsia namun saya akan beri kebebasan kepadanya untuk menjadi apa besar nanti. Saya akan tetap memberi sokongan," katanya.

Lihat Komen