malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
The Red Warriors hilang 5 pemain bertemu JDT malam esok
ADS

The Red Warriors (TRW) kehilangan lima pemain tonggak utama mereka bagi aksi Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin yang dijadualkan malam esok.

Ketua jurulatih TRW Yusri Che Lah berkata lima pemain itu ialah penyerang import Cristiano Marcolino Santos, Shafiq Shaharudin, Muhammad Danial Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Haqim Draman dan Azwan Ariffin.

"Cristiano Santos dan Muhammad Danial Haqim dilayangkan kad merah ketika menentang JDT pada perlawanan lepas, manakala tiga pemain lain mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Pada perlawanan lepas di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan menewaskan JDT 1-0 sekaligus menyaksikan pasukan itu berada di kedudukan kedua selepas tiga perlawanan hasil daripada satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan peringkat kumpulan C.

Mengulas lanjut, Yusri berkata dengan ketiadaan lima pemain utama itu, TRW dilihat sedikit tempang untuk berdepan JDT yang ketika ini berada di kedudukan keempat peringkat kumpulan sama.

Beliau berkata pasukannya itu dijangka menerima tekanan kuat daripada pasukan kendalian Benjamin Mora itu berikutan ketiadaan lima pemain terbabit dan yakin JDT mahu memperoleh mata penuh malam esok.

"Sudah tentu JDT akan beraksi dengan pemain terbaik untuk meraih kemenangan dan ia sudah tentu akan memberi kesukaran kepada kami.

"Apapun keadaan, kami perlu lalui perlawanan malam esok walaupun ia amat berat bagi kami terutama ketika berkunjung ke gelanggang lawan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen