malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Kekosongan di Kafa bakal diisi orang berkomitmen tinggi
Diterbitkan:  Aug 19, 2018 2:14 PM
Dikemaskini: 6:16 AM
ADS

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan mengisi dua kekosongan jawatan naib presiden persatuan itu dengan individu berkomitmen tinggi serta mampu menggalas tanggungjawab dengan berkesan.

Presiden Kafa Bibi Ramjani Ilias Khan berkata dua jawatan itu kosong selepas penyandangnya, Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim, meletak jawatan Julai lalu.

“Mesyuarat exco yang diadakan semalam bersetuju menerima peletakan jawatan kedua-dua individu terbabit dan kita akan isi kekosongan tersebut mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan Mohd Aizuddin dan Nik Izani meletak jawatan dalam Kafa kerana tiada persefahaman dan kata sepakat semasa menguruskan persatuan tersebut.

Bibi Ramjani berkata Kafa akan menjalankan pengundian bagi kedua-dua jawatan berkenaan dan dijangka diadakan pada 29 Sept depan.

Dalam perkembangan lain, Bibi Ramjani berkata kempen Piala Malaysia yang sedang berlangsung sekarang merupakan peluang terbaik buat The Red Warriors mengembalikan keyakinan penyokong kepada mereka.

Beliau berkata ia sekaligus dapat meningkatkan kehadiran penonton ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Sejak beberapa tahun kebelakangan kehadiran penyokong ke stadium itu tidak semeriah dulu berikutan prestasi pasukan yang kian merosot selepas bergelar juara treble dalam saingan Liga Malaysia pada 2012.

- Bernama

Lihat Komen