malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Beregu wanita negara muncul juara terbuka remaja antarabangsa
ADS

Beregu wanita Malaysia, Pearly Tan-Toh Ee Wei menampilkan aksi konsisten untuk muncul juara Kejohanan Terbuka Remaja Antarabangsa Celcom Axiata di Dewan 2020 di Kangar, hari ini.

Pada perlawanan akhir tersebut, pasangan beregu negara itu menewaskan gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Ribka Sugiarto 21-13 dan 21-18.

Sementara itu, pasangan Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin meraih gelaran kategori beregu lelaki apabila menumpaskan rakan senegara, Rehan Naufal Kusharjanto-Pramudya Kusumawardana Riyanto 21-17 dan 21-12.

Skuad Indonesia turut cemerlang apabila menjuarai kategori beregu campuran menerusi Rehan Naufal-Siti Fadia Silva Ramadhanti selepas ​​​​​​​mengatasi rakan senegara Ghifari Anandaffa Prihardika-Lisa Ayu Kusumawati 21-19, 14-21 dan 21-16.

Kategori perseorangan wanita pula menjadi milik pemain China, Han Qianxi yang mengalahkan pemain Indonesia Stephanie Widjaja 21-12 dan 21-11.

Dalam pada itu, pemain Indonesia terus melakar kejayaan apabila Ikhsan Leonardo Imanuel Rumbay menewaskan rakan senegaranya Muhammad Aldo Apriyandi 21-14 dan 21-10 bagi menjuarai acara perseorangan lelaki.

Juara kategori perseorangan menerima hadiah wang tunai AS$1,125 dan pingat, manakala naib juara AS$570 serta pingat.

Bagi kategori beregu lelaki, wanita dan campuran, setiap pemenang membawa pulang AS$1,185 dan pingat, manakala tempat kedua AS$570 serta pingat.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man turut menyaksikan perlawanan akhir dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

- Bernama

Lihat Komen