malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Indonesia jamin keselamatan kontinjen M'sia
Diterbitkan:  Aug 12, 2018 4:04 PM
Dikemaskini: 8:08 AM
ADS

Kerajaan Indonesia telah memberi jaminan keselamatan bagi kontinjen negara di Sukan Asia Jakarta-Palembang minggu depan, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq berkata selain itu juga kementeriannya telah mengadakan perbincangan dengan pihak polis negara berkenaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai keselamatan atlet yang mengambil bahagian dalam temasya dari 18 Ogos-2 Sept ini.

“Sebelum ini saya ke Indonesia melakukan tinjauan di Palembang dan Jakarta, saya sempat berjumpa dengan Presiden Indonesia Joko Widodo dan menterinya berbincang isu keselamatan (bersempena Sukan Asia).

“Mereka berjanji untuk memastikan keselamatan atlet kita terjamin. Beberapa perkara perlu diperhalusi, antaranya saya dimaklumkan pihak PDRM akan pergi lebih awal ke Indonesia bagi mendapatkan taklimat lanjutan,” katanya ketika ditemui pemberita pada kayuhan Maju Expressway (MEX Ride 2018) di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seri Kembangan di Seri Kembangan, hari ini.

Jaminan keselamatan itu dianggap penting memandangkan beberapa insiden membabitkan pasukan Malaysia di negara itu dengan yang terbaharu pada 12 Julai di mana para pemain pasukan bola sepak bawah 19 tahun dilontar botol dan batu semasa kejohanan AFF di Stadium Gelora Delta di Sidorajo.

Sementara itu, mengenai kekecohan pada perlawanan persahabatan skuad bola sepak bawah 23 tahun antara Malaysia dan Persatuan Bola Sepak Emiriah Arab Bersatu (UAE FA) pada Jumaat, Syed Saddiq berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

“Kita akan bertegas, ia tidak sepatutnya berlaku. Pihak kerajaan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan pastikan isu ini diselesaikan dengan baik,” jelasnya.

Insiden pergaduhan itu berlaku pada tempoh kecederaan babak kedua selepas pemain UAE Mohammed Khalfan Al-Harazi mengasari pemain negara dan ini cetuskan tindak balas.

Berikutan itu pihak pasukan lawan telah menggugurkan Mohammed Khalfan daripada senarai pemain mewakili negara itu pada Sukan Asia nanti.

Tindakan itu diambil selepas persatuan itu meneliti laporan awal yang mendapati Mohammed Khalfan menjadi punca insiden pergaduhan itu.

Dalam satu kenyataan di laman sesawangnya pada Sabtu, UAE FA turut memohon maaf kepada FAM berhubung insiden itu yang tidak mencerminkan etika dan semangat kesukanan pasukan itu.

- Bernama

Lihat Komen