malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Menteri: Lembaga MSN akan diaktifkan semula
Diterbitkan:  Aug 7, 2018 4:35 PM
Dikemaskini: 8:38 AM
ADS

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengaktifkan semula Lembaga Majlis Sukan Negara (MSN) di peringkat pusat sebagai langkah memastikan tidak berlakunya pemusatan kuasa.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata dengan langkah tersebut segala proses pembangunan belia dan sukan di setiap negeri dapat dilakukan seiring tanpa mengambil kira fahaman politik.

Menurut Syed Saddiq, lembaga tersebut tidak aktif lebih 10 tahun sejak 2006.

“Sebab itu KBS mahu libatkan semua pimpinan negeri tidak kira mereka dari negeri kerajaan ataupun pembangkang.

"Dalam isu belia dan sukan ini perlu ada usaha untuk menyatupadukan semua.

“Dari segi lantikan, bukan menteri melantik orang-orangnya tetapi kita akan melantik individu yang merupakan exco belia dan sukan setiap negeri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama exco pembangunan belia dan sukan negeri-negeri di Menara KBS di Kuala Lumpur hari ini.

Pada masa sama, Syed Saddiq turut menegaskan pelantikan setiap pengarah MSN perlu bebas daripada pengaruh parti politik.

Katanya, jawatan tersebut sebaiknya diduduki oleh individu yang berkelayakan serta berpengalaman luas seperti bekas atlet kebangsaan serta tokoh korporat.

“Selalunya pelantikan pengarah MSN merupakan lantikan politik yang datang daripada pimpinan tertinggi parti politik. Jawatan itu perlu bebas daripada pengaruh parti politik.

“Lebih baik jika kita memilih mereka yang betul-betul berkelayakan seperti bekas atlet negara, tokoh korporat atau orang yang sudah lama dalam bidang ini,” katanya.

Ketika mengulas mengenai pembangunan belia dan sukan negara, beliau berkata pihaknya akan memberikan layanan adil kepada semua negeri.

“KBS kena adil serta tidak boleh fokus hanya kepada beberapa negeri dan mengetepikan negeri-negeri lain.

"Mungkin selepas sambutan Hari Kemerdekaan saya akan ke Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Pahang untuk tengok bagaimana kita boleh bekerjasama.

“Kita akan pastikan infrastruktur sukan diperbaiki... mana yang tidak lengkap kita akan cuba melengkapkannya supaya akhirnya pembangunan sukan di Malaysia itu merangkumi seluruh negara,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen