malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
4 calon disenarai pendek sebagai ketua jurulatih Selangor
Diterbitkan:  Aug 7, 2018 12:23 PM
Dikemaskini: 4:25 AM
ADS

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengenal pasti empat calon yang berpotensi untuk dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Gergasi Merah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan, kata Setiausaha Agungnya, Dr Johan Kamal Hamidon.

Beliau berkata senarai calon berkenaan melibatkan jurulatih tempatan dan asing.

"Setakat ini, kita ada empat calon terdiri daripada jurulatih tempatan dan luar negara. Kita kena lihat dulu semua yang kita ada...tidak semestinya kena lantik jurulatih luar," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat bengkel tiga hari bermula Sabtu lepas, membincangkan hala tuju FAS di Shah Alam semalam.

Turut berangkat hadir, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Presiden FAS Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Amirudin Shari.

Mengulas mengenai pengendali sedia ada, Nazliazmi Nasir, Johan berkata jurulatih berkenaan sudah melakukan tugas dengan baik, namun beliau masih memerlukan masa untuk mencapai kematangan menjadi jurulatih terbaik.

Sebelum ini, pasukan Selangor di bawah bimbingan Nazliazmi tewas 0-2 kepada Pahang pada perlawanan akhir Piala FA yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, awal bulan lepas.

Johan berkata meskipun Nazliazmi menerima tekanan daripada dalam dan luar berikutan kekalahan itu, beliau melakukan tanggungjawab diamanahkan dengan baik dan membawa pasukan kendaliannya mara ke final Piala FA selain mengekalkan kedudukan Selangor dalam Liga Super.

Dalam pada itu, beliau berkata FAS bercadang mewujudkan pusat latihan lebih baik di Selangor bagi melatih pemain untuk mengembalikan kekuatan skuad berkenaan pada saingan Liga-M musim depan.

"Pengurusan baharu FAS juga akan melakukan beberapa penambahbaikan berteraskan kepada lima komponen utama termasuk menambah baik struktur organisasi dan tadbir urus serta kemudahan infrastruktur," katanya.

- Bernama

Lihat Komen