malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Kelantan lepaskan tiga, empat 'peluang 100 peratus'
ADS

Ketua Jurulatih Kelantan Yusri Che Lah mahu penyerang pasukan Kelantan menggunakan peluang sebaik mungkin untuk menjaringkan gol pada perlawanan akan datang dalam saingan Liga Super musim ini.

Beliau kecewa dengan barisan penyerang terutamanya pemain import pasukan itu yang mensia-siakan beberapa peluang untuk menjaringkan gol pada perlawanan menentang Selangor di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, malam tadi.

"(Dalam perlawanan tersebut) Kita mempunyai tiga atau empat peluang 100 peratus untuk kita jaringankan gol, namun mereka (pemain) melepaskan peluang itu," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu malam tadi.

Dalam perlawanan itu, Kelantan menewaskan Selangor 2-1 hasil jaringan Shafiq Shaharudin pada minit ke-34 dan Muhammad Danial Ashraf Abdullah minit ke-85, manakala gol pelawat dijaringkan oleh Sean Eugene Selvaraj pada minit ke-77.

Dengan kemenangan itu, Kelantan naik satu tangga daripada tangga tercorot Liga dalam usaha pasukan itu mengelak daripada disingkir ke Liga Premier musim depan.

Jurulatih berusia 44 tahun itu berkata penyerang pasukannya seolah-olah tidak bersedia untuk melakukan tindakan penyudah setelah rakan pasukan menciptakan peluang untuk mereka menjaringkan gol.

"Saya faham dengan keadaan pemain yang mempunyai tekanan untuk memperoleh kemenangan penting dalam baki perlawanan, namun mereka sebaliknya perlu bersedia apabila mempunyai peluang menyumbat bola ke dalam gol lawan.

"Kesungguhan ada, cuma pemain mempunyai kelemahan ketara pada sentuhan terakhir apabila menyerang, oleh itu sesuatu perlu dilakukan pada empat perlawanan baki Liga seterusnya," katanya.

Katanya beliau tidak mahu pemainnya mudah dibuai dengan kemenangan tersebut kerana pasukannya masih mempunyai saingan sengit dalam empat perlawanan penting bagi menentukan nasib sama ada kekal dalam saingan Liga Super atau disingkir ke Liga Premier musim depan.

"Kemenangan ini bersifat sementara kerana tugas pasukan dan pemain masih belum selesai, kita perlu bekerja keras berdepan pasukan yang berada di atas liga," katanya.

Kelantan kini berada pada kedudukan kesebelas dengan memperoleh 14 mata hasil daripada empat kemenangan, dua seri dan 12 kekalahan.

- Bernama

Lihat Komen