malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Misi Messi untuk dihormati di Argentina
Diterbitkan:  Jun 7, 2018 5:09 PM
Dikemaskini: 9:27 AM
ADS

Mencecah umur 31, Lionel Messi berada di kemuncak kariernya setelah berjaya menjulang pelbagai kejuaraan di Eropah.

Malah, Messi dikatakan merupakan pemain dengan gaji paling mahal di Sepanyol.

Namun, di negaranya, Messi masih dibayangi legenda Diego Maradona yang lebih dihormati berbanding namanya.

Mengulas perkara itu, pemain legenda Brazil, Rivaldo berkata ramai penyokong di Argentina tidak begitu yakin dengan Messi kerana pemain penyerang itu belum pernah memenangi sebarang piala untuk negaranya.

"Messi ada cabaran yang besar. Walaupun dia cemerlang di Barcelona, dia tidak begitu dihormati di negaranya sendiri kerana belum pernah menang Piala Dunia.

"Sebab itu pengiktirafan di negara penting. Pengiktirafan di kelab juga penting, tapi ia hal yang berbeza.

"Dia (Messi) akan cuba yang terbaik untuk menang kali ini kerana ia akan kekal dalam sejarah Argentina.

"Dia sudah menjadi sebahagian sejarah Barcelona, tapi dia sendiri tahu dia perlu menang Piala Dunia agar rakyat Argentina akan menghormatinya jika berjaya," katanya.

Sejak 2006, dalam tiga siri kempen Piala Dunia, Messi gagal menjulang piala paling berprestij dalam dunia sukan itu.

Aksi akhir di Brazil adalah yang paling hampir buat Messi untuk mengikuti jejak Maradona pada 1986 dan Mario Kempes pada 1978 untuk membawa pulang Piala Dunia.

Bagaimanapun 90 minit perlawanan pada 2014 itu, Messi gagal membolosi gawang Jerman sehinggalah Mario Gotze memusnahkan harapan Argentina.

Kini, Messi lebih berpengalaman, namun dia juga sedar bahawa Argentina bukan pasukan pilihan dalam kempen Piala Dunia 2018 yang akan bermula 15 Jun ini.

“Ada Jerman, Brazil, dan Sepanyol yang sangat kuat,” katanya mengingatkan rakan-rakan sepasukannya beberapa hari lalu.

Di Rusia, sekali lagi, Messi akan menjadi harapan buat Sergio Aguero, Gonzalo Higuain, Javier Mascherano, Angel Di Maria, dan kawan-kawannya untuk membawa pasukan mereka ke peringkat akhir.

Berkongsi pandangan itu, Marcus Rojo, pemain pertahanan Argentina mengakui beban paling besar digalas Messi dalam pasukan itu.

Menurutnya, nasib Argentina dalam kempen Piala Dunia kali ini bergantung kepada kemampuan Lionel Messi mencetak gol.

“Kami akan memberikan segala-galanya untuk menebus apa yang terjadi empat tahun lalu di Brazil,” tambah Rojo.

Argentina yang berada di kumpulan D akan memulakan kempen Piala Dunia pada 16 Jun ini menentang Iceland. Dua pasukan lain dalam kumpulan itu adalah Croatia dan Nigeria.

Lihat Komen