malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Argentina batal perlawanan persahabatan dengan Israel
Diterbitkan:  Jun 6, 2018 5:25 PM
Dikemaskini: 9:36 AM
ADS

Pasukan bola sepak kebangsaan Argentina menarik diri dari perlawanan persahabatan menentang Israel sempena Piala Dunia 2018 susulan bantahan aktivis pro-Palestin.

Perlawanan itu dijadualkan berlangsung Sabtu ini di Stadium Teddy Kollek yang terletak di wilayah barat Jerusalem, wilayah yang sejak awal tahun ini dijadikan sebahagian daripada ibu kota Israel.

Pembatalan itu dibuat beberapa jam selepas sekumpulan aktivis pro-Palestin mengadakan bantahan di hadapan kompleks sukan di Barcelona di mana Argentina mengadakan persiapan menjelang Piala Dunia 2018.

Pembatalan perlawanan itu turut disahkan sumber dari pihak pasukan bola sepak Argentina, seperti dilapor media.

Menyifatkan tindakan aktivis berkenaan sebagai "perkara yang betul", penyerang Argentina Gonzalo Higuain berkata keputusan pembatalan itu adalah hal yang munasabah.

"Kesejahteraan dan pertimbangan yang waras perlu diutamakan. Kami berpendapat kami tidak seharusnya meneruskan perlawanan itu," katanya.

Persatuan bola sepak Palestin sebelum ini menggesa Argentina membatalkan perlawanan itu kerana ia dikatakan diadakan di stadium yang terletak di wilayah yang dahulunya adalah kawasan kampung warga Palestin sebelum dimusnahkan dalam perang ketika penubuhan Israel dalam perang sekitar 1948.

Susulan pembatalan perlawanan itu, portal berita Israel Ynet melaporkan bahawa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menggesa Presiden Argentina Mauricio Macri campur tangan.

Pembatalan itu juga dilihat sebagai kemenangan bagi kempen anti-Israel yang diadakan di banyak negara bagi mempromosi hak Palestin tanpa menggunakan keganasan.

Awal tahun ini, Israel memindahkan ibu kotanya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, yang turut mendapat pengiktirafan AS dengan Presiden Trump mengumumkan pemindahan kedutaan negaranya.

Tindakan itu mendapat kecaman pemimpin dunia dan badan hak asasi manusia kerana dilihat membelakangi penyelesaian dua negara antara Israel-Palestin.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 115 rakyat Palestin terbunuh dan kira-kira 3,700 cedera dalam bantahan mingguan di sepanjang sempadan Israel-Palestin.

Lihat Komen