malaysiakini logo
story-image
ADS

Prestasi baik yang ditunjukkan oleh pemain-pemain perseorangan muda negara seperti Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao pada Piala Thomas kali ini sedikit-sebanyak memberikan kelegaan kepada Datuk Lee Chong Wei.

Ini kerana menurutnya, jika prestasi baik mereka diteruskan pada masa akan datang maka beliau boleh mula memikirkan untuk “menggantung raket” kerana barisan muda negara sudah bersedia untuk meneruskan cabaran badminton Malaysia.

“Ya Lee (Zii Jia) dan Leong (Jun Hao) telah menunjukkan prestasi yang baik. Mereke perlu meneruskan prestasi baik itu dengan menyertai lebih banyak kejohanan serta menaikkan ranking mereka,” katanya kepada wartawan Malaysia di Impact Arena di Bangkok hari ini.

Zii Jia perlu menaikkan kedudukan rankingnya dengan menyertai kejohanan-kejohanan di bawah Siri Super.

Perlawanan tiga set

Terdahulu, pemain berusia 36 tahun itu memberikan Malaysia mata yang pertama dalam perlawanan suku akhir Piala Thomas menentang Indonesia selepas menewaskan pemain muda negara itu, Anthony Sinisuka Ginting.

Chong Wei menundukkan Ginting yang berusia 21 tahun, 21-19 dan 21-16 dalam perlawanan yang berlangsung selama 49 minit.

Menurutnya, Ginting yang juga merupakan pemain nombor 13 dunia mempunyai masa depan yang cerah.

“Berikan beliau satu hingga dua tahun dan beliau akan menjadi pemain 10 teratas di dunia,” katanya dan menambah, dalam pertemuan Kejohanan Asia baru-baru ini, Ginting telah mengheretnya sehingga perlawanan tiga set.

Pemain muda Indonesia itu menurut beliau, memilik potensi yang tinggi.

Lihat Komen