malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Era baru Arsenal bermula dengan Emery
Diterbitkan:  May 23, 2018 5:23 PM
Dikemaskini: 9:46 AM
ADS

Fasa baru buat Arsenal akan bermula tidak lama lagi.

Selepas pemergian Arsene Wenger kelab berpangkalan di utara London itu memilih Unai Emery sebagai pengganti.

Tidak lagi menamakan jawatan itu sebagai pengurus, Emery, 46, secara rasmi dilantik sebagai ketua jurulatih The Gunners.

Emery sebelum ini menamatkan kontraknya selama dua tahun bersama Paris Saint-Germain, dan mengemudi kelab gergasi Perancis itu memenangi tiga kejuaraan serentak pada musim lalu.

Ketika bersama Sevilla, Emery juga membawa kelab Sepanyol berkenaan menjuarai piala Liga Europa selama tiga tahun berturut-turut.

Mengumumkan pelantikan itu secara rasmi, Ketua Eksekutif Arsenal, Ivan Gazidis berkata Emery berjaya mengasuh ramai pemain muda di Eropah, selain memperkenalkan permainan yang menarik di skuad kendaliannya.

"Gaya permainan progresif dibawa Emery adalah padanan sempurna buat Arsenal, manakala keghairahannya terhadap bola sepak menjadikan dia pilihan terbaik untuk kami," katanya seperti dilaporkan arsenal.com hari ini.

Sejak Wenger, 68, melepaskan jawatannya, kata Gazidis, kelab terbabit giat mencari pengganti yang secocok.

Nama-nama tersebut, kata Gazidis, kemudian disenarai pendek untuk penilaian kelab.

"Kami kemudian sebulat suara memilih Emery untuk melakar sejarah baru Arsenal," katanya.

Emery memulakan kerjaya menjadi jurulatih pada 2005 bersama kelab Lorca Deportiva selepas bersara sebagai pemain - dengan kebanyakannya untuk kelab bahagian dua Sepanyol.

Antara kelab yang pernah mendapat khidmatnya sebagai pengurus atau ketua jurulatih ialah Almeria, Valencia dan Spartak Moscow.

Sementara itu mengulas pelantikan itu, Pengurus Manchester City Pep Guardiola berkata rekod pernah dicatatkan sebelum ini menjelaskan kualiti yang ada pada Emery.

"Dia melakukan tugasnya dengan baik bersama Valencia dan Sevilla di Sepanyol, juga di Perancis.

"Jadi, selamat datang ke England. Sekarang ada seorang lagi pengurus yang baik datang ke sini," katanya.

Lihat Komen