malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Norza akui mampu galas dua tugas dalam satu masa
Diterbitkan:  May 5, 2018 6:41 PM
Dikemaskini: 10:48 AM
ADS

Presiden baru Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengakui mampu menggalas dua tugas dalam satu masa sekali gus tidak akan melepaskan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Mohamad Norza menang tanpa bertanding dan terpilih sebagai Presiden baharu MOM untuk sesi 2018/2021 bagi menggantikan Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar yang mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya itu yang telah dipegang hampir 20 tahun.

"Saya tidak akan lepaskan jawatan dalam BAM kerana kalau kita tengok hala tuju menghadapi Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun, sukan badminton adalah sangat penting untuk membantu kontinjen negara. Saya harap dengan adanya kepimpinan saya dalam BAM dan MOM, saya lebih mengetahui bagaimana untuk menguruskan skuad badminton dengan lebih baik.

"Kalau tengok sejarah Presiden MOM sebelum ini pun, Tunku Imran turut memimpin MOM ketika beliau mengendalikan Persatuan Kriket Malaysia selama 10 tahun. Jadi buat masa sekarang, saya rasa ia masih boleh diuruskan," katanya selepas sesi pemilihan pucuk pimpinan MOM pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-37 di Wisma MOM, hari ini.

Mengulas mengenai kepimpinan baharu MOM, Mohamad Norza berkata beliau bangga dengan kepercayaan yang ditunjukkan oleh perwakilan sukan kepada dua pemimpin wanita iaitu Datuk Mumtaz Jaffar dan Datuk S. Shamala, yang dipililh sebagai Naib Presiden.

Katanya, sebelum ini MOM menetapkan sekurang-kurangnya satu kuota pemimpin wanita bagi jawatan tersebut namun pada pemilihan kali ini, terbukti pemimpin wanita telah diiktiraf dalam sukan negara.

Mohamad Norza yang juga merupakan Presiden kelima MOM, turut mengucapkan terima kasih kepada Tunku Imran dan Datuk Sieh Kok Chi atas usaha yang dilakukan selama ini dalam menaikkan nama MOM di peringkat antarabangsa.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, ia disandang oleh Pengerusi Lembaga Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yang menang dengan 54 undian berbanding pencabarnya Datuk Megat Zulkarnain Omardin memperoleh 43 undi.

Lima Naib Presiden pula adalah Datuk Ong Poh Eng, Datuk Nur Azmi Ahmad, V. Mahinda dan Mumtaz dan Shamala.

Penyandang Setiausaha Agung MOM, Datuk Lau Beng Choo tewas tipis dengan hanya satu undi kepada Datuk Nazifuddin Mohd Najib yang dipilih selaku Setiausaha Agung baharu selepas meraih 49 undi berbanding Beng Choo yang mendapat 48 undi.

Nazifuddin akan dibantu dua Penolong Setiausaha Agung iaitu Chan Foong Keong dan Moira Tan Siew See manakala jawatan Bendahari disandang Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin dan dibantu Penolong Bendahari iaitu Datuk Amarjit Singh. -Bernama

Lihat Komen