malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Laluan Enrique ke Emirates kurang berliku
Diterbitkan:  Apr 25, 2018 8:24 PM
Dikemaskini: 12:33 PM
ADS

Perlu bersaing dengan Chelsea, namun peminat serta pemerhati yakin Arsenal mampu mengikat Luis Enrique bagi menggantikan Arsene Wenger jika pemilik kelab itu menjadikan pengurus dari Sepanyol terbabit sebagai sasaran utama.

Enrique, 47, menjadi satu daripada watak yang berada dalam senarai pilihan The Gunners bagi mengemudi kelab itu selepas Wenger berangkat pergi di hujung musim ini.

Masalahnya kelab itu belum membuat keputusan muktamad. Apa yang ada cuma cakap-cakap biasa mengenai pengganti Wenger.

The Blues pula dipercayai akan menyingkirkan pengurus sekarang, Antonio Conte, 48, apabila dia gagal memuaskan hati pemilik kelab berkenaan.

Conte juga dilaporkan menuntut upah £15 juta (RM82 juta) setahun.

Seorang lagi calon yang berpotensi untuk The Gunners ialah bekas pengurus Borussia Dortmund, Thomas Tuchel. Dia bagaimanapun sudah menjadi pilihan Paris Saint-Germain.

Untuk rekod, Enrique bukanlah pilihan tunggal Chelsea. Selain Enrique, The Blues juga menyasarkan nama-nama lain seperti Mauricio Pochettino (Tottenham Hotspur), Maurizio Sarri (Napoli), Max Allegri (Juventus) dan Leonardo Jardim (AS Monaco).

Jardim juga ada dikaitkan dengan Arsenal, cuma The Gunners dikatakan kurang bernafsu untuk menggaji pengurus dari Itali itu.

Umpan di Stanford Bridge

Selain mengukuhkan semula skuad, Arsenal juga mempunyai pertimbangan lain dalam memilih pengganti Wenger, 68, iaitu menarik semula penyokong yang menjauhi mereka sebelum ini.

Langkah itu dianggap dapat menghangatkan semula stadium Emirates yang semakin hilang serinya apabila Wenger gagal menepati kehendak mereka.

Satu lagi watak yang disebut boleh mengemudi Arsenal ialah bekas ketua pasukan mereka, Mikel Arteta, yang mendapat pujian tinggi daripada ketua eksekutif kelab, Ivan Gazidis.

Pada masa sama Arteta tidak menarik minat Chelsea pun.

Dalam keadaan itu persaingan untuk mengisi tempat ditinggalkan Wenger - setakat ini - hanyalah antara Arteta dan Enrique.

Di sebalik tawaran lumayan yang boleh dijadikan umpan di Stanford Bridge, Arsenal mempunyai sedikit kelebihan iaitu hubungan baik Enrique dengan pengarah bola sepak The Gunners, Raul Sanllehi yang menyertai kelab itu dari Barcelona penghujung tahun lalu.

Malah, Sanllehi secara terbuka menyatakan hasratnya mahu Enrqiue menyertai skuad The Gunners semalam.

Kedua-dua mereka pernah bekerjasama di Barcelona dan mengekalkan hubungan baik selepas meninggalkan kelab berkenaan.

Bagaimanapun untuk rekod, Arsenal dipercayai tidak akan membuat pendirian muktamad sehingga bulan depan.

Lihat Komen