malaysiakini logo
story-image
ADS

Pasukan JDT gagal mara ke separuh akhir Zon ASEAN dalam saingan Piala AFC meskipun mencatat kemenangan 3-2 ke atas Song Lam Nghe An FC pada aksi terakhir Kumpulan H di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Skuad Harimau Selatan yang memerlukan kemenangan dengan jaringan besar ke atas kelab dari Vietnam itu untuk mara ke pusingan seterusnya, gagal berbuat demikian walaupun menguasai hampir keseluruhan perlawanan.

Gol pertama JDT diperoleh menerusi rembatan kencang Muhammad Syafiq Ahmad yang menerjah ke gawang pasukan lawan pada minit ke-36.

Jaringan itu jelas menaikkan semangat pemain JDT yang terus mengasak pintu gol lawan, dan hasilnya pasukan tuan rumah memperoleh gol kedua selang dua minit kemudian melalui Muhammad Syafiq untuk menewakan penjaga gol Song Lam Nghe An FC, Tran Van Tien.

Tersentak dengan jaringan itu, pasukan pelawat kendalian Nguyen Duc Thang bingkas bangkit dan berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-40 menerusi PT Nhat.

Seminit sebelum separuh masa pertama permainan tamat, kelab Vietnam itu berjaya menyamakan kedudukan 2-2 melalui tandunkan kencang Ho Tuan Tai.

Bersambung babak kedua, JDT terus menguasai permainan dan berjaya memperoleh gol ketiga melalui sepakan penalti yang disempurnakan Safiq Rahim pada minit ke-66 selepas beliau dikasari pemain pertahanan pasukan lawan, Nguyen Si Nam.

Pasukan tuan rumah terus mengasak pintu gol kelab Song Lam Nghe An FC, namun kedudukan 3-2 itu kekal sehingga wisel penamat, sekali gus menafikan kemaraan JDT ke saingan separuh akhir Zon ASEAN pada kejohanan berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen