malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
S Kumar bebas sarung jersi kebangsaan
Diterbitkan:  Apr 23, 2018 6:03 PM
Dikemaskini: 10:06 AM
ADS

Skuad hoki lelaki kebangsaan mendapat suntikan semangat menjelang temasya Sukan Asia 2018, Ogos ini apabila penjaga gol, S.Kumar dibenar kembali menyarung jersi negara setelah bebas daripada hukuman penggantungan sementara.

Perkara itu diumumkan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal dalam satu sidang media hari ini selepas keputusan itu diputuskan secara rasmi oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada Rabu lepas.

Penjaga gol yang membuat 295 penampilan bersama skuad kebangsaan itu sebelum ini digantung sementara daripada terbabit dengan sebarang aktiviti hoki selama dua tahun selepas didapati positif sibutramine ketika mewakili negara di Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lepas.

“Pada 18 April lalu kami telah mendapat keputusan daripada FIH mengatakan bahawa S.Kumar dibenarkan kembali ke pasukan kebangsaan pada 15 April 2018, yang bermaksud secara serta merta.

Tiada lagi episod mengenai isu Kumar...Kumar boleh beraksi tetapi terpulang kepada Kumar sekarang,” kata Subahan dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Pada masa sama, Subahan menganggap kerjasama yang diberikan FIH kepada KHM sepanjang menguruskan kes berkenaan menunjukkan FIH mempunyai keyakinan serta kepercayaan tinggi terhadap badan induk hoki negara itu.

“FIH telah beri kerjasama sepenuhnya kepada kami seperti mana kami memberi kerjasama kepada mereka sehingga dapat membenarkan Kumar kembali bersama skuad kebangsaan tanpa perlu menghadiri sesi pendengaran… ini menunjukkan FIH mempunyai keyakinan tinggi terhadap MHC dan juga Kumar,” katanya.

Sementara itu, wakil perundangan yang dilantik KHM bagi menguruskan isu tersebut, Jadadish Chandra berkata tiada keperluan untuk Kumar menghadiri sesi pendengaran FIH kerana bahan digunakan beliau tidak mempengaruhi peningkatan prestasinya.

“Tidak akan ada sebarang pendengaran kerana kami telah menunjukkan dan membuktikan kepada FIH bahawa pengambilan sibutramine adalah tanpa niat dan produk yang diambil beliau diuji di sebuah makmal di Pulau Pinang dan juga dua makmal di Switzerland

Dan penemuan ujian itu sudah disahkan oleh FIH sebagai pengambilan secara tidak sengaja oleh Kumar,” kata beliau. -Bernama

Lihat Komen