Matthysse yakin pertahan gelaran Welterweight WBA

(Dikemaskini )

Juara bertahan kategori Welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA), Lucas Matthysse dari Argentina melaungkan keyakinan dapat mempertahankan gelarannya itu apabila menentang legenda tinju Filipina, Manny Pacquiao di Kuala Lumpur pada 15 Julai depan.

Matthysse, 35, yang meraih gelaran itu pada Januari lepas, berkata beliau melakukan segala persiapan sewajarnya bagi merebut kejuaraan tersebut, dan sudah tentu tidak mahu melepaskan gelaran tersebut kepada Pacquiao.

“Saya berusaha keras untuk memenangi kejuaraan ini, banyak pengorbanan dilakukan dan kini gelaran tersebut dalam genggaman saya, dan saya tahu bukan mudah untuk mempertahankannya.

“Namun, saya akan terus berusaha keras bagi memastikan saya bersedia 100 peratus dan tidak semudah itu bagi beliau (Pacquiao) untuk merampas gelaran ini daripada saya,” kata Matthysse, yang juga juga dikenali sebagai ‘The Machine’ pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Membuat perbandingan dengan peninju Argentina sebelum ini, yang berpeluang bertarung dengan nama-nama besar dalam arena tinju dunia, Matthysse menyifatkan dirinya sebagai pencabar terhadap gelaran itu, dan tidak sabar menanti pertarungan yang bakal berlangsung di Axiata Arena di Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil.

“Bonavena (Oscar Bonavena) menentang Ali (Muhammad Ali); ‘Chino’ Maidana (Marcos Maidana) berdepan Mayweather (Floyd Mayweather); dan kini, saya sendiri akan bertarung menentang Pacquiao.

“Ia sesuatu yang menarik dapat berentap dengan legenda tinju seperti beliau. Sebagai atlet, ia suatu pencapaian yang besar bagi saya menentang peninju yang berkaliber ini,” katanya.

Sementara itu, Pacquiao, 39, yang merupakan satu-satunya juara dunia bagi kesemua lapan divisyen, menjangkakan pertarungan sengit menentang ‘The Machine’.

“Saya sangat teruja bertarung untuk muncul juara dunia sekali lagi. Ia satu motivasi kepada saya untuk bertarung bersungguh-sungguh bagi meraih kejuaraan tersebut, dan saya mahu menjadi inspirasi kepada semua orang.

“Saya suka cara bertarung Matthysse yang agresif. Itu yang saya mahukan dan saya pasti peminat tinju akan terhibur dengan pertarungan tersebut,” katanya yang juga merupakan Senator di Filipina dan pelabur dalam ekonomi digital. -Bernama