Wenger sah angkat kaki tinggalkan Arsenal

(Dikemaskini )

Akhirnya - Arsene Wenger bakal mengucapkan selamat tinggal kepada kelab yang sudah diuruskannya selama kira-kira 22 tahun, Arsenal.

"Selepas membuat pertimbangan teliti dan perbincangan dengan pengurusan kelab, saya fikir penghujung musim ini adalah waktu yang sesuai untuk saya berundur," katanya seperti dipetik laman sesawang rasmi Arsenal hari ini.

Menurut pengurus berusia 68 tahun itu sepanjang tempoh mengendali The Gunners dia menjalankan tugasnya dengan penuh komitmen serta integriti.

"Saya berbangga kerana diberikan peluang berkhidmat untuk kelab ini selama bertahun-tahun.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan, pemain, pengarah kelab dan peminat yang menjadikan Arsenal begitu istimewa," katanya.

Sepanjang mengendalikan Arsenal, Wenger membuat beberapa kejayaan penting, termasuk mengemudi kelab itu menamatkan musim 2004 - 2004 tanpa kalah walaupun sekali dalam saingan EPL.

Wenger turut membawa The Gunners menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Liga Juara-juara buat kali pertama pada 2006. Bagaimanapun tuah tidak memihak kepada kelab berkenaan apabila mereka terpaksa akur kepada kelebihan lawan, Barcelona 1-2.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini sentuhannya dilihat kurang menjadi dan kelab itu tidak menjulang sebarang piala bermakna.

Keadaan itu mencetuskan rasa gelisah di kalangan peminat, dan sesetengahnya menggerakkan kempen supaya dia digantikan.

Wenger berkata, dia berharap peminat akan kekal berdiri teguh bersama Arsenal

"Kepada semua pencinta Arsenal, jagalah nilai-nilai yang tinggi pada kelab ini. Kasih sayang dan sokongan saya untuk Arsenal adalah abadi," katanya.

Sementara itu pemegang saham terbesar Arsenal, Stan Kroenke, berkata hari ini adalah satu daripada detik paling sukar buat mereka semua.

"Antara sebab kami terlibat dengan Arsenal ialah apa yang dilakukan Wenger ke atas kelab ini.

"Daya juang dan ketekalan dipupuknya selama ini membawa Arsenal berada di tahap tertinggi dan tak terbanding.

"Wenger ada kelas tersendiri. Setiap orang yang menggemari Arsenal serta pencinta bola sepak terhutang budi kepadanya," kata Kroenke.

Kerjaya Wenger sebagai pengurus bermula pada 1984 apabila mengendalikan kelab Nancy sehingga 1987 apabila dia berhijrah ke Monaco.

Sebelum ke Highbury di London ada 1996, Wenger mencurahkan kepakarannya bersama kelab Jepun selama kira-kira setahun.