malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Skuad kriket guna kelebihan beraksi di laman sendiri
Diterbitkan:  Apr 19, 2018 9:13 PM
Dikemaskini: 1:15 PM
ADS

Skuad kriket Malaysia akan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri pada Divisyen Empat Liga Kriket Dunia (WCL) ICC 2018, bagi mendapatkan tempat bersaing pada WCL 3.

Pasukan negara perlu meraih kedudukan dua tempat teratas dalam kejohananan disertai enam negara itu dari 29 April hingga 6 Mei bagi menempah slot dalam divisyen tiga, setelah diturunkan beraksi pada WCL 4 selepas menamatkan cabaran di tangga kelima pada edisi sebelum ini.

Namun, Pengurus Besar (operasi kriket) Persatuan Kriket Malaysia (MCA) M. Dinesh, yakin skuad negara yang dibimbing jurulatih baharu yang berwibawa, Sampath Perera dari Sri Lanka, mempunyai peluang cerah mara ke perlawanan akhir.

“Sasaran kita adalah kembali beraksi dalam WCL 3 dan peluang kita cerah kerana beraksi di tempat sendiri, dan hanya Uganda yang berada di ranking lebih tinggi daripada pasukan kita.

“Sampath membimbing pasukan sebagai jurulatih sementara ketika Jelajah Sri Lanka pada Januari lepas, dan kini mempersiapkan skuad menghadapi WCL 4. Kita berharap beliau dapat memberi impak pada kejohanan itu," katanya kepada Bernama.

Berada di ranking ke-26 dunia, Malaysia akan memulakan kempen WCL 4 menentang pasukan di kedudukan ke-25 dunia, Uganda pada 29 April, sebelum berdepan Vanuatu pada 30 April di Kinrara Oval, Puchong dan Denmark (ranking ke-27 dunia) pada 2 Mei di UKM Oval, Bangi.

Juara Sukan SEA 2017 (50 overs) itu seterusnya akan beraksi dalam dua perlawanan di Kelab Diraja Selangor, menentang Jersey pada 3 Mei dan Bermuda, dua hari kemudian (5 Mei).

-Bernama

Lihat Komen