malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Pemenang Sungai Buloh Night Run akhirnya terima hadiah
Diterbitkan:  Apr 17, 2018 6:40 PM
Dikemaskini: Apr 18, 2018 3:34 AM
ADS

Seramai 40 pemenang pada acara Sungai Buloh Night Run 2018 yang ditaja Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail akhirnya menerima bayaran selepas dua bulan acara itu berlangsung.

Jurucakap bagi penganjur acara larian itu berkata, kesemua bayaran dijelaskan pada hari ini.

Perkara itu pada mulanya diketengahkan Anggota Parlimen Serdang, Ong Kian Ming Jumaat lalu yang berkata hadiah RM32,000 yang ditawarkan menarik minat ramai pelari elit menyertai acara itu.

Bagaimanapun katanya, peserta yang menangi acara larian berkenaan tidak menerima hadiah seperti dijanjikan.

"Walaupun banyak usaha dilakukan beberapa pemenang untuk menghubungi penganjur larian, mereka belum menerima hadiah mereka," kata Ong di Twitter.

Berdasarkan bahan promosi, acara larian yang berlangsung pada 10 Februari itu dianjurkan oleh Guru Aktif 1Selangor (GA1S), Jawatankuasa Pewakilan Penduduk Parlimen Subang dan Koordinator Pembangunan Persekutuan Dewan Undangan Negeri DUN N38 Paya Jaras.

Zein dikatakan menjadi penaung acara larian berkenaan.

Foto-foto dari acara tersebut menunjukkan sebilangan besar personaliti BN hadir, termasuk Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk P Kamalanathan.

Berikutan itu halaman Facebook rasmi acara itu dibanjiri pelbagai aduan daripada peserta, termasuk kelemahan penganjur mengawal lalu lintas dan penyediaan air minuman, serta kekurangan pingat bagi pemenang dan T-Shirt.

Peserta diwajibkan membayar sebanyak RM75 bagi menyertai larian berkenaan.

Sementara itu Zein menafikan dakwaan Ong yang mengaitkan acara itu dengan BN.

Sebaliknya Zein berkata beliau telah berusaha mendapatkan bantuan seorang rakan bagi memperoleh dana sebanyak RM40,000.

"Saya beri bantuan untuk mudahkan (acara) terutamanya mengenai keselamatan dan hal-hal yang melibatkan permit dan polis. Saya agak terkejut dengan tuduhan terhadap saya dan penggunaan nama BN (oleh Ong) menunjukkan dia mempunyai niat buruk," katanya ketika ditemui semalam.

Beliau menggesa Ong meminta maaf kerana menyerang BN di media sosial berhubung perkara itu.

Sabtu lalu penganjur acara Azroy Ramli membuat laporan polis bagi membersihkan nama Zein.

Beliau berkata kegagalan untuk membayar hadiah tepat pada masanya disebabkan kesilapan penganjur dan bukan berpunca daripada pemimpin Umno itu.

"Datuk Zein Isma, Guru Aktif 1Selangor serta Barisan Nasional sama sekali tidak terlibat dalam proses pembayaran hadiah pemenang.

"Proses pembayaran hadiah adalah daripada saya selaku penganjur dan disebabkan ada masalah teknikal yang tak dapat dielakkan kami terpaksa menunda pembayaran kepada semua pemenang," katanya yang turut memohon maaf kepada Zein.

Lihat Komen