malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Kejayaan di Gold Coast bakar lagi semangat Chong Wei
Diterbitkan:  Apr 17, 2018 3:55 PM
Dikemaskini: 7:59 AM
ADS

Kejayaan meraih pingat emas perseorangan lelaki pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018, membakar semangat Datuk Lee Chong Wei untuk meneruskan momentum kemenangan apabila menyertai Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Wuhan, China dari 24 hingga 29 April ini.

Jaguh badminton negara itu yang pernah memenangi pingat emas pada edisi 2006 dan 2010 berkata, beliau hanya mempunyai tempoh singkat menjalani latihan sebelum ke China, namun yakin ia tidak menjadi penghalang untuk dirinya menampilkan satu lagi aksi cemerlang.

"Saya berpuas hati dengan pencapaian pada Sukan Komanwel, namun sedikit kecewa kerana kita gagal mempertahankan pingat emas acara berpasukan campuran dan gagal capai sasaran peribadi dapat dua emas, tapi saya okey dengan keputusan tersebut.

"Kita tengok tahun ini banyak kejohanan utama dan selepas ini saya ada tiga atau empat hari latihan sebelum ke Wuhan dan balik ke tanah air untuk buat persiapan hadapi Piala Thomas pada bulan Mei nanti, namun saya harap dapat buat yang terbaik dalam setiap kejohanan yang saya sertai," katanya.

Chong Wei berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tiba dari Gold Coast, Australia bersama skuad badminton negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), awal pagi tadi.

Berdasarkan undian pada BAC, anak jati Pulau Pinang itu menerima laluan mudah pada pusingan awal BAC, namun sekiranya berjaya melepasi halangan berkenaan, Chong Wei berdepan tugas sukar menentang pemain nombor satu dunia, K. Srikanth dari India pada peringkat suku akhir.

Berkongsi pandangan sama dengan Chong Wei adalah Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang berpuas hati dengan kutipan dua emas walaupun skuad negara gagal menepati sasaran tiga emas pada kali ini.

Beliau pada masa sama turut memuji Chong Wei yang menampilkan aksi cemerlang untuk meraih pingat emas peribadi buat kali ketiga walaupun skuad negara gagal mempertahankan emas dalam acara berpasukan campuran.

"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan pencapaian pemain walaupun kita gagal mencapai sasaran tiga emas.

"Kemunculan India selaku kuasa badminton yang baharu tidak patut dipandang rendah kerana jika kita bandingkan dengan sukan ping pong, wakil mereka turut mencipta kejutan dan kesilapan utama kita bagi saya adalah kita terlalu pandang rendah negara yang merupakan bukan kuasa badminton," tegasnya.

Sehubungan itu, Mohamad Norza menjelaskan beliau akan duduk berbincang dengan barisan kejurulatihan bagi memperbaiki kelemahan yang wujud dalam skuad badminton negara pada Sukan Komanwel kali ini.

Selain emas daripada Chong Wei, Malaysia turut meraih satu lagi emas menerusi beregu wanita, Vivian Hoo Kah Mun-Chow Mei Kuan, satu perak dalam acara berpasukan campuran selain dua pingat gangsa menerusi beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

-Bernama

Lihat Komen