malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Pandelela sasar 3 kejohanan penting selepas Gold Coast
Diterbitkan:  Apr 16, 2018 5:19 PM
Dikemaskini: 9:24 AM
ADS

Ratu terjun negara, Pandelela Rinong, menyifatkan kejayaannya meraih pingat emas bersama Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama wanita pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di Australia baru-baru ini, menyuntik semangatnya untuk memburu keputusan positif pada tiga kejohanan antarabangsa selepas ini.

Tiga kejohanan itu ialah Siri Terjun Dunia (World Diving Series), Piala Dunia Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) selain temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos ini.

Pandelela berkatab pingat berkenaan amat bermakna untuk dirinya memandangkan ia adalah emas kedua yang dimenangi selepas edisi 2010 di New Delhi, India yang menyaksikan beliau meraih emas dalam acara 10m platform individu.

"Dapat menang emas sudah tentu menggembirakan hati dan saya amat berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan saya pada kali ini.

"Saya rasa kemenangan emas yang dimenangi pada setiap edisi Sukan Komanwel amat bermakna untuk diri saya, namun saya akui saingan kali ini amat mencabar tapi saya bersyukur dapat keputusan yang baik," katanya.

Pandelela berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) bersama-sama skuad terjun negara dari Gold Coast, awal pagi ini.

Berkongsi pandangan sama adalah Jun Hoong yang berbangga dapat meraih emas sulungnya setelah gagal dalam tiga percubaan sebelum ini iaitu pada edisi 2002 di Manchester, England, 2006 di Melbourne, Australia dan 2010 di India.

"Saya merasa amat gembira dengan persembahan kali ini dan bersyukur kerana dapat menang pingat emas dan ini adalah yang pertama bagi diri saya dalam Sukan Komanwel selepas kali keempat mencuba," jelas anak jati Perak itu yang merupakan Olahragawati Kebangsaan 2017.

Selain pingat emas berkenaan, Malaysia turut meraih dua pingat gangsa, masing masing menerusi Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri dalam acara 3m papan anjal seirama dan 10m platform seirama wanita.

-Bernama

Lihat Komen