malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Liga Europa bukan sekadar debaran merebut piala
Diterbitkan:  Apr 13, 2018 8:41 PM
Dikemaskini: 12:50 PM
ADS

Selepas sembilan tahun 'ghaib' daripada pusingan separuh akhir radar kejohanan Eropah, Arsenal berpeluang merawat luka parah itu apabila turun menentang kelab Sepanyol, Atletico Madrid pada 26 Apr ini.

Skuad The Gunners itu melangkah bergaya selepas membenam kelab Rusia, CSKA Moscow awal pagi tadi.

Lebih manis mereka hadir ke pusingan separuh akhir selepas menang besar 6-3 walaupun sekadar seri 2-2 di Moscow.

Selepas perlawanan pusingan pertama Arsenal dan Atletico Madrid akan bertembung sekali lagi pada 3 Mei bagi menentukan kelab yang berhak ke perlawanan akhir.

Satu lagi perlawanan separuh akhir melibatkan Marseille (dari Perancis) dan Salzburg (Austria).

Ketika peminat mengharapkan Arsenal dapat membebaskan diri daripada aib kerana gagal menyinar seperti diharapkan, penyerang Alexandre Lacazette pula percaya keputusan dalam Liga Europa itu akan mencorakkan masa depan pengurus kelab itu, Arsene Wenger.

Kontrak Wenger akan berakhir pada hujung musim ini dan dia belum menyatakan sama ada bakal kekal di Emirates atau berhijrah.

Sebahagian peminat memang mahu pengurusan kelab itu memberi pembaharuan dengan mencari pengurus baru.

Kata Lacazette pencapaian Arsenal di Liga Europa menjadi penawar luka buat peminat.

"Pasti kami lega kalau dapat memenangi piala dan ia juga menjadi penguat sebab kepada Wenger kekal bersama kami.

"Apa yang sudah dilakukannya kepada Arsenal memang hebat," katanya.

Semakin hampir ke akhir

Sementara itu penjaga gol Petr Cech berkata Arsenal memang dalam keadaan tertekan kerana apa yang sedang terjadi ke atas mereka ketika ini.

"Melihat kepada kedudukan kelab di EPL sekarang, semua pihak menanggung beban tanggungjawab besar.

"Kejohanan ini bukan sekadar untuk menempah tempat di Liga Juara-juara buat Arsenal tapi kami mahukan piala yang tidak pernah kami julang," katanya.

Sementara itu undian hari itu juga menyaksikan pertembungan lebih menarik di Liga Juara-juara.

Wakil dari England, Liverpool akan berdepan Roma dari Itali di peringkat separuh akhir.

Walaupun namanya tidak gah berbanding Liverpool, Roma wajar dihormati kerana mereka menunjukkan semangat juang yang mengagumkan sebelum menunjukkan jalan pulang buat gergasi Sepanyol, Barcelona.

Perlawanan separuh akhir lain melibatkan dua gergasi masing-masing dari Jerman dan Sepanyol, iaitu Bayern Munich dan Real Madrid.

Mereka akan bersaing sesama sendiri pada 24 Apr untuk pusingan pertama, diikuti 3 Mei untuk pusingan kedua.

Perlawanan akhir Liga Juara-juara akan diadakan di Kiev, Ukraine pada 26 Mei, manakala Lyon di Perancis menjadi lokasi pertembungan dua pasukan terbaik Liga Europa pada 16 Mei.

Lihat Komen