malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Pahang ziarah keluarga penyokong yang meninggal dunia
Diterbitkan:  Mar 23, 2018 6:07 PM
Dikemaskini: 10:17 AM
ADS

Skuad bola sepak Pahang hari ini mengadakan ziarah kasih ke rumah seorang penyokong pasukan itu yang meninggal dunia selepas menyaksiksan perlawanan pusingan ketiga saingan Piala FA di Stadium Darul Makmur pada malam Sabtu lalu.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata lawatan ke rumah Allahyarham Azmi Mat, 63, di Taman Impian Perdana itu yang disertai pihak pengurusan dan pemain, merupakan cetusan idea Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

"Dalam lawatan ini, kita mahu memberi semangat dan sedikit sumbangan kepada keluarga Allahyarham Azmi yang telah meninggal dunia ketika Pahang beraksi menentang Kedah pada perlawanan pusingan ketiga Piala FA baru-baru ini.

"Difahamkan arwah merupakan seorang penyokong tegar Pahang, dia tidak pernah ketinggalan pergi ke stadium apabila pasukan kami beraksi.

"Bagi kami bola sepak bukan sekadar sukan tetapi ia memerlukan sokongan padu penyokong dan sebagai sebuah pasukan kami amat menghargai sumbangan mereka yang memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kami," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa mengadakan ziarah itu di Kuantan hari ini.

Turut hadir pada program itu ialah Penolong Pengurus Pahang Datuk Che Nasir Salleh, Ketua Jurulatih, Dollah Salleh, kesemua pemain dan pegawainya.

Pada lawatan itu pemain dan pihak pengurusan pasukan bola sepak Pahang turut mengadakan bacaan doa dan tahlil di rumah Allahyarham sebelum bergotong-royong membersihkan kuburnya di Tanah Perkuburan Islam Batu Lapan di sini.

Semasa kejadian Sabtu lalu, Azmi dikatakan rebah di tangga tingkat satu stadium sebelum disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada 11.08 malam.

Balunya Khairiah Harun, 43, berkata kunjungan pasukan Pahang itu amat menyentuh hati mereka sekeluarga dan ia sedikit-sebanyak memberi kekuatan kepadanya untuk meneruskan hidup dan menyara dua anak tanpa suami di sisi.

"Saya hanya seorang suri rumah dan terpaksa menyara dua anak bersama arwah iaitu Adam Harith Lutfi, 5, dan Farahdiba Syafika, 14. Saya percaya dengan bantuan dan keprihatinan pasukan Pahang segala kesulitan yang dihadapi oleh kami sekarang mampu untuk diatasi,” katanya menambah mereka sekeluarga merupakan penyokong setia skuad Tok Gajah sejak dahulu lagi.

Sementara itu, penyerang import Pahang, Mohamadou Sumareh berkata beliau serta rakan-rakan akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu keluarga Allahyarham.

"Kami amat bersedih dengan kehilangan seorang penyokong setia seperti Azmi dan kami merasakan dia seperti keluarga kami sendiri. Mereka sekeluarga perlu kuat dalam meneruskan hidup dan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman," katanya. -Bernama

Lihat Komen