malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Safiq harap pemain muda, senior mantapkan Harimau Malaya
Diterbitkan:  Mar 21, 2018 5:24 PM
Dikemaskini: 9:30 AM
ADS

Kapten skuad kebangsaan, Mohd Safiq Rahim menuntut para pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, yang diberi peluang untuk beraksi dalam skuad Harimau Malaya, meneruskan prestasi cemerlang mereka apabila turun menentang Mongolia pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Perancang tengah berusia 30 tahun itu berkata, sembilan pemain B-23 negara yang membantu Malaysia mara ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di China, Januari lepas, harus meneruskan kecemerlangan itu di peringkat senior untuk membantu skuad Harimau Malaya mengecapi kembali kemenangan.

Kapten pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga, berharap gabungan pemain muda negara dalam skuad 29 pemain yang dipanggil oleh Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe ke kem latihan pusat kali ini, mampu membentuk sebuah pasukan yang mantap.

Mohd Safiq mengakui bahawa para pemain turut merasa tekanan dengan ranking skuad kebangsaan yang merudum ke tangga ke-178 dunia, iaitu kedudukan terburuk bagi skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, beliau berharap untuk melakarkan keputusan positif, apabila skuad negara turun beraksi di bawah kendalian Cheng Hoe buat kali pertama, yang juga menjadi aksi sulung di Stadium Nasional sejak ditutup bagi kerja-kerja menaik taraf untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Saya berharap kali ini kita bersedia dengan baik dan berusaha keputusan baik untuk perbaiki ranking pasukan kebangsaan. Apa yang penting ialah pasukan kita, bagaimana persediaan kita, di mana semua pemain ada tanggungjawab dalam perlawanan esok.

Jadi kita tak boleh pandang rendah pasukan lawan, walaupun mereka menduduki ranking lebih rendah. Kita perlu jalankan tanggungjawab mengikut perancangan dan laksanakannya dengan baik dalam perlawanan esok,” katanya pada sidang media praperlawanan di Wisma FAM di Petaling Jaya, hari ini.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya merasai kemenangan adalah ketika menewaskan Kemboja 3-2 dalam aksi Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) pada Nov 2016, di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Sementara itu, Kapten Mongolia, Turbat Daginaa berkata persiapan skuad negara itu yang dibarisi oleh pemain-pemain separuh profesional, terjejas ekoran musim sejuk di negara Asia Timur itu, sejak Disember lepas.

“Kesemua pemain dalam pasukan ini adalah separuh profesional, mereka bekerja dan belajar, kami disatukan oleh bola sepak, hobi kami. Dalam beberapa bulan lepas, persiapan kami terjejas oleh musim sejuk, dengan suhu jatuh ke paras -20 hingga -30 Celsius.

Jadi kami hanya berlatih di gelanggang futsal dan sebelum ke Kunming, China untuk dua minggu sebagai persiapan menghadapi Malaysia. Bagaimanapun, kami akan memberikan yang terbaik esok,” katanya.

Selepas bertemu Mongolia, skuad kebangsaan akan ke Beirut untuk bertemu skuad Lubnan pada 27 Mac dalam aksi Kumpulan B, Pusingan Kelayakan Piala Asia 2019. -Bernama

Lihat Komen