malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Peluang terbuka buat atlet powerlifting negara
Diterbitkan:  Mar 21, 2018 5:02 PM
Dikemaskini: 9:23 AM
ADS

Altet powerlifting negara, Jong Yee Khie berpeluang cerah meraih emas di temasya Sukan Komanwel 2018 apabila juara bertahan, Abdul Azeez Ibrahim berkemungkinan tidak mengambil bahagian di Gold Coast, Australia, bulan depan.

Jurulatihnya, Jamil Adam berkata menurut maklumat yang diperoleh, atlet Nigeria itu masih dalam proses pemulihan kecederaan bahu serta tidak mengambil bahagian pada dua kejohanan penting tahun lepas iaitu Piala Dunia dan Kejohanan Dunia.

Beliau berkata, Yee Khie, pemenang gangsa kategori 72kg pada edisi lepas di Glasgow, Scotland, tidak boleh mengambil mudah perkara itu kerana tanggungjawabnya adalah untuk melakukan persiapan rapi dalam misi meraih pingat pada temasya itu nanti.

"Kemungkinan Abdul Azeez tidak bertanding di Sukan Komanwel mungkin adalah strategi mereka...justeru kita tidak boleh cepat selesa.

“Seandainya beliau bertanding mungkin dalam status ‘kecederaan', jadi peluang meraih pingat emas adalah terbuka. Oleh itu, Yee Khie perlu elak kesilapan yang boleh membatalkan angkatannya nanti,” katanya pada sidang media berkenaan persediaan atlet podium ke Sukan Komanwel, di Kuala Lumpur hari ini.

Jamil yakin Yee Khie boleh melakukan angkatan lebih 210kg untuk meraih pingat di pada temasya Sukan Komanwel dari 4 hingga 15 April ini.

Menurutnya, angkatan terbaik Yee Khie adalah 212kg ketika bertanding di Piala Dunia di Kazakhstan tahun lalu dengan memenangi pingat perak dan anak buahnya itu juga merupakan pemegang rekod di Sukan Para ASEAN dengan angkatan 210kg.

Dalam pada itu, Yee Khie berkata pada penampilan keduanya di Sukan Komanwel kali ini, beliau optimis mampu melakukan angkatan lebih baik berbanding empat tahun lalu di Glasgow.

Atlet berusia 29 tahun itu berkata cabaran utamanya bukan daripada Abdul Azeez sahaja tetapi atlet dari India tetapi beliau yakin mampu menyumbang pingat berdasarkan prestasi konsistennya tahun lalu.

"Berbaki dua minggu lagi sebelum berlepas ke Australia, saya perlu menjaga kesihatan selain menjalani latihan yang spesifik supaya tidak terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri," kata atlet kelahiran Sarawak itu.

- Bernama

Lihat Komen