malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Jazeman Jaafar mahu sapu kedudukan 3 teratas keseluruhan
Diterbitkan:  Mar 21, 2018 4:57 PM
Dikemaskini: 8:59 AM
ADS

Kedudukan tiga teratas keseluruhan menjadi sasaran Jazeman Jaafar selepas diumumkan mengetuai cabaran barisan kesemua pelumba pasukan Malaysia pada Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) musim 2018.

Selain Jazeman, pelumba Malaysia lain ialah Weiron Tan, Afiq Ikhwan Yazid dan Nabil Jeffri yang akan bersaing di bawah pasukan Jackie Chan DC Racing X Jota di WEC dan juga perlumbaan 24-Jam Le Mans.

“Kita berjaya bersaing pada WEC berdasarkan merit selepas memenangi perlumbaan di Buriram dalam Siri Le Mans Asia (ALMS).

“Bagi kejuaraan itu, kita sudah menandatangani perjanjian bersama Jackie Chan DC Racing, pasukan yang sama kita bersaing dalam ALMS," kata Jazeman kepada Bernama pada majlis pengumuman perlumbaan dan program pembangunan bakat permotoran Sepang International Circuit (SIC) di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata pasukan berkenaan adalah antara pasukan terkuat, namun mereka akan mengharungi kejuaraan WEC dan perlumbaan 24-Jam Le Mans, satu persatu.

"Perlumbaan Le Mans adalah sasaran dalam karier saya dan kita perlu berusaha keras untuk berada di tahap itu. Saya bangga dapat mencapai matlamat itu dengan kesemua pelumba di Malaysia dan saya perlu melakukan yang terbaik.

“Bagi WEC, kita mahukan kedudukan podium dalam setiap perlumbaan dan menamatkan musim ini dalam kedudukan tiga teratas,” katanya.

Perlumbaan pembukaan daripada lapan pusingan WEC dijadual berlangsung di Spa Circuit Francorchamps di Belgium pada 5 Mei.

Sementara perlumbaan 24-jam Le Mans musim 2018/19 akan bermula pada 16-17 Jun 2018 sehingga 15-16 Jun 2019.

- Bernama

Lihat Komen