malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Tze Liang enggan terperangkap dalam sejarah
Diterbitkan:  Mar 21, 2018 2:59 PM
Dikemaskini: 7:06 AM
ADS

Pemenang pingat emas acara 3m papan anjal lelaki di Sukan Komanwel 2014, Ooi Tze Liang tidak mahu terlalu memikirkan mengenai kejayaan lepas sebaliknya mahu fokus kepada latihannya sebelum mula beraksi di temasya sama di Gold Coast, Australia, bulan depan.

Tze Liang, 24, berkata pengalaman manis meraih satu pingat emas dan satu pingat perak pada edisi lepas di Glasgow, Scotland itu hanya merupakan sejarah yang perlu diingati.

"Kejayaan dulu adalah satu pengalaman manis dan ia sudah lepas sebagai sejarah. Jadi hanya boleh bercerita sahaja, apa yang perlu saya buat sekarang ialah fokus dengan program yang diberikan jurulatih.

"Fokus terhadap masa kini, yang akan datang terpulang kepada tuhan dan nasib sama ada boleh mengulangi pengalaman manis itu. Yang pasti saya akan lakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan juga negara," katanya kepada media.

Penerjun kelahiran Pulau Pinang itu berkata cabaran masih sama walaupun bakal berhadapan dengan saingan sengit daripada penerjun Australia dan beliau perlu berada dalam keadaan mental dan fizikal bersedia.

Seorang lagi penerjun negara yang bakal beraksi di Sukan Komanwel nanti, Ahmad Amsyar Azman nekad mahu melakukan kejutan pada penyertaan kali ketiganya di temasya berprestij itu.

Ahmad Amsyar, 25, berkata secara peribadinya beliau menyasarkan kutipan pingat tanpa mengira warna pada kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada 4 hingga 15 April ini.

"Saya akan buat yang terbaik. Dari segi latihan, semua berjalan dengan lancar dan sistematik. Mungkin akan jadi satu kejutan daripada saya. Sasaran peribadi saya pingat, tidak kisah pingat apa," katanya yang akan beraksi dalam acara 1m papan anjal individu lelaki dan 3m papan anjal individu lelaki.

Sementara itu, jurulatih skuad terjun kebangsaan yang baharu Christian Brooker menasihatkan semua penerjun untuk mengambil kawalan penuh terhadap apa yang mereka dapat kawal seperti minda mereka sendiri, berbanding mengawal juri dan pingat.

Brooker berkata penerjun hanya boleh mengawal diri mereka sendiri dan perlu fokus untuk memastikan mereka dapat melakukan yang lebih baik semasa pertandingan nanti.

- Bernama

Lihat Komen