malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Pandelela mahu pastikan terjunan cemerlang di Gold Coast
Diterbitkan:  Mar 20, 2018 4:18 PM
Dikemaskini: 8:22 AM
ADS

Ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg mahu memberi sepenuh fokus dan memperbaiki pencapaian pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Pandelela, 25, yang merupakan pemenang pingat emas acara 10m platform wanita pada Sukan Komanwel 2010 di India, berkata beliau perlu memperbaiki permulaan setiap terjunannya bagi memastikan dapat mencatat keputusan cemerlang.

“Dari segi konsentrasi, tidak ada sebarang masalah. Apa perlu saya perbaiki adalah permulaan terjunan dan kekalkan tahap kecergasan. Rasanya yang lain saya sudah bersedia.

“Dari aspek kecederaan, tidak menjadi masalah kerana saya selalu buat pemeriksaan rutin kesihatan dengan Institut Sukan Negara (ISN) bagi memastikan saya berada dalam keadaan baik,” katanya pada sidang media Program Podium di ISN di Kuala Lumpur, hari ini.

Penerjun berasal dari Sarawak itu meraih satu pingat emas dan satu perak pada edisi 2010 di India manakala di Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, beliau memenangi satu pingat perak dan satu gangsa.

Pasukan terjun wanita negara dijadual berlepas ke Australia pada 5 April ini.

Sementara itu, pemangku ketua jurulatih terjun negara, Zhang Yukun berkata selepas lebih sebulan menjalani latihan intensif, beliau percaya penerjun negara cukup bersedia membawa cabaran Malaysia pada temasya sukan berkenaan.

“Kita tiada sasaran spesifik, namun saya percaya pasti akan ada penerjun negara muncul juara. Siapa dan acara mana tidak pasti,” katanya yang mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih daripada Zhang Zhuliang sejak Januari lepas.

Yukun berkata pada masa ini, cabaran paling getir bagi semua penerjun negara adalah diri mereka sendiri untuk berada di prestasi terbaik.

Justeru, beliau meminta kesemua penerjun belajar mengatasi perasaan bimbang dan tidak yakin dalam diri mereka terlebih dahulu, sebelum memikirkan mengenai pencabar lain. -Bernama

Lihat Komen