malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Tiada lagi rehat untuk Dhabitah
Diterbitkan:  Mar 20, 2018 3:29 PM
Dikemaskini: 8:53 AM
ADS

Prestasi hambar di Kejohanan Terjun Siri Dunia pada musim ini bukan penghalang kepada Nur Dhabitah Sabri untuk mempamerkan aksi cemerlang pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, bulan depan.

Nur Dhabitah, 19 tahun, yang akan bergandingan dengan penerjun senior, Leong Mun Yee berkata kegagalannya pada dua Kejohanan Terjun Siri Dunia di Beijing, China dan Fuji, Jepun itu tidak mematahkan semangatnya untuk berbakti kepada negara.

“Apa yang perlu saya buat ialah teruskan latihan dengan lebih banyak lagi sebelum Sukan Komanwel bermula, sudah tidak ada rehat untuk saya dan semua penerjun negara. Dengan latihan yang teratur dan berkesan, saya yakin ia boleh bantu naikkan semangat saya kembali.

“Permulaan yang agak kurang baik musim ini bukan penghalang untuk saya tonjol rentak cemerlang di Sukan Komanwel. Sekarang saya sudah tahu apa kesalahan dan apa yang perlu diperbaiki sebagai persediaan ke temasya seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Program Podium di Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.

Gandingan Nur Dhabitah dan Mun Yee gagal memperoleh sebarang pingat selepas dua Kejohanan Terjun Siri Dunia bermula pada awal bulan ini.

Mengulas lanjut mengenai persediaan serta keserasian bersama Mun Yee, Nur Dhabitah berkata walaupun sudah lama tidak beraksi dalam acara papan anjal namun Mun Yee berusaha membuat terjunan terbaiknya serta menunjukkan peningkatan positif dalam acara itu.

“Bagi saya Mun Yee seorang penerjun yang kuat. Walaupun baru dua Siri Dunia tapi beliau telah naikkan mata setiap terjunan yang kami buat bersama. Saya yakin Mun Yee boleh bantu saya di Sukan Komanwel nanti,” katanya.

Penerjun kelahiran Kuala Lumpur itu akan bertanding dalam empat acara iaitu 1m papan anjal, 3m papan anjal serta 3m papan anjal seirama dan 10m platform seirama bergandingan dengan Mun Yee.

Sementara itu, Mun Yee yang merupakan pemenang pingat perak bersama Pandelela Rinong Pamg dalam acara 10m platform seirama pada Sukan Komanwel 2010 di India berkata beliau bakal menghadapi cabaran besar pada temasya yang dijadualkan bermula pada 6-15 April ini.

Mun Yee, 33 tahun, berkata walaupun sudah lama tidak beraksi namun beliau berjanji akan memberi persembahan terbaik dan membantu Nur Dhabitah di Sukan Komanwel nanti.

- Bernama

Lihat Komen