Pemain lama dan baru serasi, Kedah mantap

(Dikemaskini )

LIGA SUPER | Keserasian antara pemain lama dan baru menjadi penanda aras dalam membantu memantapkan pasukan Lang Merah bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2018.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata keserasian antara pemain dalam pasukan sangat penting bagi membolehkan ia diterjemahkan di atas padang semasa perlawanan.

"Kita (KFA) telah penuhkan kuota pemain import dan terbaru ialah bekas bintang Selangor, Andik Vermansyah, yang mengisi slot kuota import Asean.

"Jadi sekarang pemain lama dan baru masih dalam proses menyesuaikan diri antara satu sama lain.

"Pada perlawanan lepas, saya tengok ada perubahan dalam corak permainan tetapi apa yang penting sekarang adalah keserasian semua pemain kerana bila sudah serasi itu, ia dapat mantapkan pasukan Kedah untuk perlawanan seterusnya," katanya selepas perjumpaan bersama pemain Kedah di Padang Stadium Suka Menanti di Alor Setar, hari ini.

Katanya dia berpuas hati dengan prestasi pemain import dan akan memberi ruang bagi membolehkan Ketua Jurulatih Ramon Marcote serta semua pemain untuk memahami kedudukan dan peranan masing-masing semasa di padang.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata dia yakin pasukan Kedah mampu memenangi perlawanan menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam, Sabtu ini sekiranya pemain bermain dengan semangat berpasukan yang tinggi.

- Bernama




Pengiklanan