malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Kelantan rindu sentuhan Ghaddar
Diterbitkan:  Feb 23, 2018 4:11 PM
Dikemaskini: 8:21 AM
ADS

LIGA SUPER | Kelantan menagih sentuhan magis Mohammed Ghaddar dalam aksi menentang Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, malam esok.

Pemangku Ketua Jurulatih The Red Warriors Yusri Che Lah berkata anggota pasukan serta penyokong amat merindui kelibat penyerang import dari Lubnan itu yang sering mencipta kejutan terutama ketika berada di depan gawang lawan.

"Penyertaan dia (Ghaddar) cukup dirasai oleh pemain, penyokong, dan sebagai jurulatih sentuhan penyudah pemain itu amat ditagih,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu hari ini.

Ghaddar kembali menyertai Kelantan pada saat-saat akhir jendela perpindahan pemain ditutup pertengahan bulan ini.

Pertemuan dengan Perak nanti merupakan perlawanan sulung pemain berusia 24 tahun itu bersama Kelantan selepas kembali menyertai pasukan berkenaan.

Dalam pada itu, Yusri berkata beliau merangka strategi baru menggunakan kombinasi pemain yang berbeza ketika melayan Perak di gelanggang sendiri nanti.

Dia turut berharap segala percaturan yang dirangka dapat membuahkan hasil yang positif selepas kegagalan Kelantan mencipta kemenangan dalam tiga perlawanan sebelum ini.

Sementara itu, Kapten The Red Warriors Mohd Badhri Mohd Radzi berkata dia berjanji untuk mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan malam esok selepas tidak diturunkan dalam tiga perlawanan sebelum ini akibat masalah kesihatan.

"Secara peribadi saya mahu melakukan yang terbaik untuk pasukan dan bola sepak Kelantan serta berharap penyokong memberikan sokongan kepada pasukan.

"Saya akan berusaha untuk menjaringkan satu gol malam esok dan mencipta lebih banyak killer pass kepada rakan lain untuk menjaringkan gol," katanya.

- Bernama

Lihat Komen