PM ziarah keluarga mendiang Chow Chee Keong

(Dikemaskini )

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menziarahi keluarga bekas penjaga gol kebangsaan, mendiang Chow Chee Keong di Nirvana Memorial Centre, di Jalan Sungai Besi, di Kuala Lumpur.

“Ziarah keluarga mendiang Chow Chee Keong pagi tadi, sampaikan takziah kepada mereka. He was the greatest goalkeeper Malaysia ever had (Beliau penjaga gol paling hebat yang pernah dihasilkan Malaysia),” katanya menerusi laman Twitternya hari ini.

Menerusi laman Twitter itu juga, Najib turut memuat naik catatan beliau di buku ziarah: “We (Malaysia) will miss him greatest goalkeeper we ever had. (Kami (Malaysia) akan merasai kehilangan penjaga gol paling hebat yang kami ada).

Chee Keong, 69, penjaga gol terbaik negara, meninggal dunia pada Rabu lepas akibat kanser pundi kencing di Pusat Perubatan Universiti Malaya selepas melalui pembedahan pintasan jantung pada 17 Jan.

Beliau pernah dipilih sebagai pemain terbaik oleh Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) lima kali berturut-turut antara tahun 1966 dan 1970, dan kemudiannya menempa nama sebagai pemain profesional di Hong Kong.

Jenazah Chee Keong akan disemadikan di Nirvana Crematorium Shah Alam pada Ahad ini. -Bernama




Pengiklanan