malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Radhi Mat Din calon PAS Pokok Sena?
Diterbitkan:  Feb 21, 2018 6:43 PM
Dikemaskini: 11:08 AM
ADS

Legenda bola sepak Kedah, Radhi Mat Din, 53 tidak menolak kemungkinan menerima tawaran untuk bertanding pilihan raya umum akan datang.

Bekas pemain bahagian tengah pasukan Kedah itu bagaimanapun berkata beliau akan mendapatkan restu daripada keluarga terlebih dahulu sekiranya dicalonkan PAS Pokok Sena.

"Walaupun sudah jadi ahli PAS sekian lama tetapi tidak terdetik di hati saya untuk menjadi calon pada pilihan raya.

“Bagaimanapun jika dicalonkan, saya akan berbincang dengan keluarga terlebih dahulu bagi mendapat restu ibu bapa supaya tidak menyentuh perasaan kepada mereka yang lain," katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Radhi adalah watak penting ketika era kegemilangan Kedah apabila membawa pasukan itu ke perlawanan akhir Piala Malaysia sebanyak tujuh kali.

Sebelum ini bekas pemain bola sepak kebangsaan itu kerap menjadi perhatian apabila menghadiri pelbagai program anjuran PAS Pokok Sena.

Kebolehannya menyebabkan beliau dilantik sebagai Ikon Bola Sepak PAS di kawasan itu bagi menarik lebih ramai golongan muda melibatkan diri dalam sukan berkenaan.

“Saya lebih suka menarik golongan muda mendekati PAS dengan mengadakan latihan bola sepak kerana mahu menanam semangat bahawa sukan itu digalakkan dalam Islam.

"Melalui bola sepak juga dapat mendidik mereka mengenai sukan yang dikehendaki oleh Islam seperti menjaga solat dan aurat,” katanya yang mengakui sering mengikuti perkembangan politik tanah air.

Menurut Radhi, setiap ahli PAS adalah pejuang dan tidak semestinya berkorban untuk parti itu hanya semasa dicalonkan dalam pilihan raya.

"Bagaimanapun hari ini saya bersedia dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan PAS, serta sentiasa wala jika diberi arahan untuk dicalonkan,” katanya.

Meskipun demikian Radhi berkata beliau yakin ramai ahli PAS lebih layak mengisi pencalonan berkenaan.

“Bagi saya, ramai lagi ahli PAS yang lebih berwibawa untuk dicalonkan pada pilihan raya nanti dalam memperjuangkan Islam, apatah lagi mereka terdiri golongan yang berpendidikan agama.

"Mereka lebih layak jika dibandingkan dengan saya yang hanya lebih dikenali dalam dunia bola sepak sahaja," katanya.

Lihat Komen