malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Legenda penjaga gol kebangsaan meninggal dunia
Diterbitkan:  Feb 21, 2018 11:43 AM
Dikemaskini: 4:29 AM
ADS

Malaysia kehilangan seorang lagi legenda bola sepak tanahair dengan pemergian bekas penjaga gawang gol negara, Chow Chee Keong hari ini.

Pada usia 69 tahun, mendiang menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pagi tadi.

Perkara itu disahkan oleh anak mendiang, Andrian Chow, menerusi laman sosial Facebook miliknya.

“Pada jam 8:08 pagi (21 Februari 2018), ayah saya, Chow Chee Keong meninggalkan kita dengan tenang. Beliau telah lama berjuang dengan tabah untuk terus hidup bersama kami,” jelasnya.

Dalam kenyataan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut merakam ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Dilahirkan pada 26 November 1948 di Selangor, Chee Keong menyarung jersi skuad kebangsaan seawal usia 15 tahun sebelum berhijrah ke Hong Kong.

Beliau pernah bermain untuk beberapa kelab seperti Jardine FC, HK Rangers dan South China AA.

Mendiang juga dinobat sebagai penjaga gol terbaik Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selama lima tahun berturut-turut dari tahun 1966 hingga 1970.

Bersama pasukan Malaysia, Chow Chee Keong pernah mewakili negara dalam temasya Pestabola Merdeka dan Kelayakan Piala Dunia sekitar tahun 1980 sebelum bersara pada 1985.

 

 

 

 

 

Lihat Komen