Pendaftaran larian Sukan Asia ke-18 masih dibuka

(Dikemaskini )

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melanjutkan pendaftaran untuk Larian Sukan Asia ke-18 yang dijadual berlangsung di Dataran Merdeka pada 4 Mac, sehingga Ahad ini (25 Feb).

MOM dalam kenyataan hari ini, berkata orang ramai, baik rakyat Malaysia dan warga asing boleh mendaftar untuk menyertai larian tersebut dalam tiga kategori, iaitu masing-masing terbuka lelaki dan wanita 10km bagi mereka berumur 15 tahun ke atas, serta larian 5km (tujuh tahun ke atas).

“Program Larian Rasmi Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 adalah program promosi dan pembangunan sukan sosial Majlis Olimpik Asia (OCA) yang akan diadakan dalam kalangan 45 Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Asia. Kita berharap dapat menarik sebanyak mungkin peserta,” katanya.

Larian berkenaan yang bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai Sukan Asia, akan bermula pada 7 pagi untuk 10km, manakala larian 5km akan berlangsung mulai 7.30 pagi.

Kesemua peserta yang berdaftar akan mendapat T-Shirt Logo Sukan Asia ke-18, manakala untuk kategori 10km, pingat dan e-sijil akan diberikan, di samping 30 pingat khas yang disediakan OCA kepada 15 peserta teratas, masing-masing bagi kategori terbuka lelaki dan wanita.

Mereka yang berminat boleh mendaftar secara dalam talian melalui home.hooha.asia/18thAsianGamesFunRun.aspx atau mendaftar di pejabat Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (FTKLAA) di Tingkat 2, Wisma MOM, Jalan Hang Jebat di Kuala Lumpur.

- Bernama




Pengiklanan