malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
FMLLP sekat pasukan tak lengkap dokumen beli pemain
ADS

Beberapa pasukan dalam Liga Malaysia 2018 bakal berdepan tindakan tegas termasuk sekatan pembelian pemain selain pemotongan mata susulan kegagalan melengkapkan dokumen pendaftaran pasukan dalam tempoh yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam berkata tindakan tegas terpaksa diambil ke atas pasukan terlibat kerana mereka memandang mudah perkara berkenaan yang boleh menjejaskan kualiti saingan bola sepak tempatan yang kini semakin berkembang maju.

"Sekretariat FMLLP akan mengajukan perkara ini kepada Ahli Lembaga Pengarah FMLLP yang dijangka bersidang pada minggu pertama bulan depan bagi menentukan tindakan yang bakal diambil ke atas pasukan terlibat.

"Bagi saya, ini bukan soal pasukan terlibat terlepas pandang mengenai tarikh akhir mereka perlu melengkapkan dokumen pendaftaran pasukan tetapi lebih kepada sikap mengambil mudah dalam perkara ini," katanya kepada Bernama, hari ini.

Sementara itu, Kevin mencadangkan pengurangan dana kepada pasukan yang gagal melengkapkan dokumen pendaftaran pemain bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

FMLLP dalam laman Facebooknya semalam, mendedahkan dua pasukan Liga Super, Kelantan dan Kuala Lumpur menghantar dokumen pendaftaran pasukan yang tidak betul manakala dua lagi pasukan Liga Super, Selangor dan PKNS FC menghantar dokumen melepasi tarikh akhir yang diberikan iaitu pada 3 Feb.

Selangor telah melengkapkan dokumen berkenaan pada 11 Feb manakala PKNS FC pada 19 Feb.

Empat pasukan Liga Premier iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA dan Polis Diraja Malaysia pula gagal melengkapkan dokumen berkenaan.

Dua lagi pasukan Liga Premier, MIFA dan UKM FC menghantar dokumen pendaftaran pasukan melepasi tarikh akhir yang telah ditetapkan, dengan MIFA menghantar dokumen pada 15 Feb manakala pasukan UKM FC pada 19 Feb.

- Bernama

Lihat Komen