malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Bekas pemilik kelab Portsmouth dipenjara curi wang isteri
Diterbitkan:  Feb 19, 2018 6:18 PM
Dikemaskini: 10:29 AM
ADS

Sulaiman Al-Fahim, individu yang pernah memiliki kelab Portsmouth selama enam minggu pada tahun 2009 dijatuhi hukuman lima tahun penjara kerana mencuri £5 juta (sekitar RM30 juta) daripada isterinya untuk mendanai pembelian kelab tersebut.

Lelaki itu yang turut terlibat dalam pembelian Manchester City oleh Abu Dhabi United Group pada 2008, disabitkan bersalah melakukan pemalsuan, menggunakan dokumen palsu, dan bersubahat dalam perbuatan itu.

Dia dan seorang kakitangannya didapati mencuri wang untuk membeli kelab berkenaan daripada pemilik sebelumnya, Sacha Gaydamak. Tidak berapa lama kemudian Al Fahim menjual kelab tersebut kepada Ali Al Faraj.

Al Fahim, 42, tidak menghadiri perbicaraan ketika hukuman dijatuhkan, lapor BBC.

Pendakwaraya berkata isteri Al Fahim mendapati wangnya hilang dalam jumlah yang besar selepas mendapati faedah yang sepatutnya didapati daripada pembukaan akaun pada 2009 tidak diterimanya.

Selepas pegawai bank yang diadu gagal mengambil tindakan, wanita itu melaporkan perkara itu kepada polis.

Perbicaraan yang dijalankan di Dubai itu turut mendapati pegawai bank turut terbabit dalam jenayah kecurian, pemalsuan dokumen rasmi dan membuat dokumen palsu.

Ketika Portsmouth dimiliki Al Fahim, kelab itu berada di Liga Primer, namun ia mengalami masalah kewangan dan kesulitan membayar gaji pemain dan kakitangannya.

Empat tahun kemudian, kelab yang menerima julukan The Pompey itu menghadapi rombakan tiga kali dan berpindah pemilik sebanyak tujuh kali.

Pada tahun 2013, kelab itu diambil alih oleh Pompey Supporters Trust, yang kemudian menjualnya kepada bekas ketua eksekutif Disney, Michael Eisner pada Ogos 2017.

Musim lalu kelab tersebut dipromosikan dari Liga Dua ke Liga Satu, yang merupakan divisyen ketiga dalam sistem liga Inggris setelah Liga Primer dan Championship.

Lihat Komen