malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Boling intai satu emas di Sukan Asia 2018
Diterbitkan:  Feb 19, 2018 5:49 PM
Dikemaskini: 9:53 AM
ADS

Skuad boling negara menyasarkan satu pingat emas pada Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos ini, selepas tuan rumah temasya itu hanya menawarkan enam pingat emas berbanding 10 sebelum ini dalam sukan tersebut.

Ketua jurulatih, Holloway Cheah berkata empat acara tidak dipertandingkan kali ini ialah acara individu dan beregu lelaki serta individu dan beregu wanita.

Beliau berkata enam pingat emas yang menjadi rebutan ialah dalam acara trio lelaki dan wanita, berpasukan enam lelaki dan wanita serta acara Masters lelaki dan wanita.

“Pengurangan jumlah pingat emas merugikan Malaysia dan negara peserta lain, justeru, kita sasarkan satu pingat emas biarpun tidak mudah tetapi saya percaya skuad negara mampu membanggakan nama negara nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sukan Negara (MSN), di Kuala Lumpur hari ini.

Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) mempertaruhkan skuad wanita yang merangkul pingat emas pada Kejohanan Dunia di Las Vegas, Disember lalu, bagi menghadirkan pingat emas buat Malaysia pada Sukan Asia 2018.

Cheah berkata cabaran skuad lelaki akan digalas oleh peserta berpengalaman Alex Liew, Rafiq Ismail, Timmy Tan, Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Adrian Ang dan Ahmad Muaz Fishol.

Skuad wanita pula terdiri daripada Shalin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Esther Cheah, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Sin Li Jane dan Natasha Roslan.

Sebagai persediaan ke Sukan Asia, jurulatih itu berkata skuad wanita akan menyertai Cabaran Euro Brunswick di Jerman dari 10 hingga 18 Mac ini manakala skuad lelaki akan menyertai beberapa kejohanan di Singapura, Hong Kong dan Macau.

Mengenai peluang pada temasya Sukan Asia di Jakarta dan Palembang dari 18 Ogos hingga 2 Sept ini, beliau berkata skuad lelaki bakal menerima saingan sengit daripada peserta Korea Selatan, Jepun dan tuan rumah, Indonesia berbanding skuad wanita yang merupakan juara dunia. -Bernama

Lihat Komen