Malaysia nyaris benam Jordan


(Dikemaskini )

Malaysia nyaris mencipta kejutan menewaskan Jordan apabila seri 1-1 dalam aksi kedua kumpulan C Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun (B-23) 2018 di Stadium Changshu, China, hari ini.

Persembahan terpuji yang dipamerkan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu bagaimanapun hampir memberikan tiga mata berharga, namun dua percubaan negara yang terkena tiang pada babak kedua perlawanan memaksa Malaysia untuk sekadar berpuas hati mengutip satu mata.

Bagaimanapun, keputusan yang dianggap tidak bernasib baik itu masih belum menutup peluang Malaysia untuk mara ke peringkat suku akhir meskipun skuad negara kini menduduki tempat tercorot dengan mengumpul satu mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Pada perlawanan itu, cuaca sejuk yang mencecah 4 darjah Celsius tidak menghalang skuad negara dari menyajikan permainan berkualiti dengan beberapa gerakan menarik berjaya dicipta sepanjang perlawanan untuk mengucar-kacirkan barisan pertahanan pihak lawan.

Dua perubahan dalam kesebelasan utama yang dilakukan Kim Swee hari ini dengan menurunkan penyerang Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Haziq Nadzli ternyata memberikan impak positif terhadap corak permainan negara.

Sebaik permainan bermula, skuad negara mengimbangi perlawanan dengan baik selain berjaya menyerap tekanan pihak lawan, namun sedikit kesilapan di bahagian pertahanan membenarkan Ward Al Barri meletakkan Jordan di hadapan pada minit ke-16.

Tersentak dengan itu, Malaysia kembali memperkemaskan permainan sebelum berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-43 menerusi Muhammad Safawi Rasid yang tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas pemain pertahanan Jordan, Saed Ahmad Salameh menjatuhkan Muhammad Akhyar di dalam kawasan berbahaya.

Malaysia hampir menggandakan jaringan pada minit ke-63 dan 73 masing-masing menerusi Muhamamd Akhyar dan Matthew Davies, namun rembatan deras kedua-dua pemain itu hanya sekadar menggegar tiang pasukan lawan untuk mengekal keputusan seri.

Bercakap pada sidang media selepas perlawanan, Kim Swee memuji aksi bertenaga yang dipamerkan barisan pemainnya selain berharap momentum positif tersebut dapat dikekalkan pada pertemuan terakhir kumpulan menentang Arab Saudi, Selasa depan.

“Pemain menampilkan karektor yang baik walaupun sebelum perlawanan, kami tidak diberikan harapan. Kami hampir merentap tiga mata daripada Jordan dan saya bangga dengan semangat jitu pemain.

"Kami berjaya menyaingi kekuatan pasukan pasukan tetapi malangnya gagal membuat penyudahan dua percubaan,” katanya.

Pada perlawanan pertama Rabu lalu, Malaysia kalah 4-1 kepada Iran manakala Jordan seri 2-2 dengan Arab Saudi.

- Bernama




Pengiklanan