malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
KL cari pemain import kuota Asean
Diterbitkan:  Jan 11, 2018 6:01 PM
Dikemaskini: 10:19 AM
ADS

Juara Liga Perdana 2017, Kuala Lumpur terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan bekas pemain pertahanan antarabangsa Singapura, Baihakki Khaizan yang menolak tawaran untuk beraksi dengan skuad ‘The Hawks’ dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa memaklumkan bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Lions XII itu sebaliknya membuat pusingan U dengan memilih untuk beraksi bersama naib juara Liga Perdana Thailand 2017, Muangthong United.

“Beliau pada mulanya memang bersetuju untuk beraksi dengan Kuala Lumpur namun tawaran daripada Muangthong United yang bakal beraksi dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia sukar untuk ditolak.

Walaupun terkejut dengan keputusan tersebut, kita menerima keputusan beliau dengan hati terbuka dan kita akan terus berusaha mencari seorang pemain pertahanan bagi mengisi kuota Asean,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Nokman mengakui pasukan berkenaan sedang bergelut untuk mendapatkan pemain import bagi mengisi kuota Asean sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain fasa pertama yang berakhir pada Ahad ini.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan sekiranya pasukan Kuala Lumpur gagal mendapatkan pemain pertahanan bagi mengisi kuota berkenaan, mereka akan memulakan proses pencarian sebaik sahaja pintu jendela perpindahan pemain fasa kedua dibuka pada 14 Mei nanti.

Pasukan Kuala Lumpur sebelum ini dilaporkan berhasrat mendapatkan khidmat pemain kebangsaan Indonesia, Achmad Jufriyanto Tohir yang beraksi dengan kelab Persib Bandung namun pemain berkenaan memutuskan untuk kekal bersama pasukan lamanya.

Dalam pada itu, Nokman memaklumkan pasukan kendalian Fabio Maciel da Silva akan berlepas ke Yogyakarta, Indonesia pada hujung minggu untuk beberapa aksi persahabatan dengan kelab tempatan di sana sebagai persiapan menghadapi Liga-M 2018 yang bermula pada 3 Feb ini.

Untuk rekod, pasukan Kuala Lumpur mengekalkan khidmat dua pemain kelahiran Brazil, Guilherme de Paula dan Paulo Josue selain turut mendapatkan dua pemain import baharu iaitu Junior Aparecido de Souza dari Brazil dan Boburjon Akbarov dari Uzbekistan. -Bernama

Lihat Komen