malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Anderson, Acosta azam julang satu piala untuk PKNS FC
Diterbitkan:  Jan 11, 2018 4:25 PM
Dikemaskini: 8:41 AM
ADS

Dua pemain import baharu PKNS FC, Zac Anderson dari Australia dan Jonathan Leonel Acosta dari Argentina, berazam membantu pasukan Liga Super itu memenangi sekurang-kurangnya satu piala pada kejohanan Liga Malaysia (Liga M) 2018, yang akan membuka tirainya pada 3 Feb depan.

Anderson, yang bermain untuk pasukan Kedah musim lepas, berkata dia mengambil keputusan menyertai kelab Lembah Klang itu kerana tertarik dengan tekad ketua jurulatih PKNS FC Datuk K. Rajagobal untuk mengembalikan kegemilangan kelab berkenaan yang prestasinya turun naik beberapa musim lepas.

"Beliau mengambil langkah yang amat baik apabila membawa masuk beberapa pemain handalan tempatan dan seorang pemain import yang hebat, oleh itu, saya pun tidak teragak-agak untuk menyertai kelab ini.

Kini, saya amat tidak sabar untuk mengharungi musim baharu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pemain tinggi lampai itu juga menyambut baik langkah Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) Partnership memperkenlakan kuota lima pemain luar negara mulai musim ini, yang akan menyaksikan Liga M menjadi lebih meriah dan sengit dengan persaingan.

Berkongsi pendapat dengan Anderson, Acosta berkata dia pula meletakkan sasaran untuk menjaring sebanyak mungkin gol untuk mengembalikan kegemilangan PKNS FC dan seterusnya membolehkan pasukan itu menjadi pesaing utama bagi menjulang piala kejuaraan musim ini.

"Saya benar-benar teruja untuk menyertai PKNS FC, walaupun tidak banyak mengetahui tentang Liga Malaysia serta berharap dengan pengalaman luas bermain dengan kelab lama dulu, saya akan dapat membantu pasukan ini menjulang sekurang-kurangnya satu piala,” kata pemain tengah berusia 29 tahun itu, yang sebelum ini beraksi dengan kelab Jaguares de Cordoba dari Colombia.

Berikutan pengambilan dua pemain itu, PKNS FC kini mempunyai empat pemain import selepas berjaya mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Singapura, Muhammad Faris Ramli daripada Home United dan penyerang Bawah 20 Tahun Colombia, Ramon Morales Ramirez, yang bermain dengan kelab Banfield dari Argentina.

Untuk rekod, PKNS FC menduduki tangga ketujuh dalam Liga Super 2017 serta gagal melayakkan diri ke peringkat kalah mati pada kejohanan Piala FA Cup dan Piala Malaysia. -Bernama

Lihat Komen