malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
JDT tak ambil mudah aksi pramusim - Izham
Diterbitkan:  Jan 10, 2018 6:45 PM
Dikemaskini: 10:48 AM
ADS

Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Izham Tarmizi Roslan menyifatkan siri perlawanan persahabatan pramusim JDT di Thailand bakal menentukan hala tuju skuad ‘Harimau Selatan’ dalam menghadapi saingan musim 2018 yang lebih mencabar.

Pemenang Piala Malaysia 2017 itu berkata keputusan setiap perlawanan di Thailand itu memainkan peranan besar kepada persiapan JDT yang akan menentang Muangthong United pada pusingan kelayakan Liga Juara-juara Persekutuan Bola Sepak Asia (ACL) 2018 pada 23 Jan ini.

Selepas itu JDT akan melayani kunjungan Kedah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, bagi merebut gelaran juara Piala Sumbangsih 2018 pada 3 Feb depan.

“Perlawanan pramusim kami di Thailand pada kali ini tidak boleh di ambil mudah kerana keputusan dan prestasi pemain di sana bakal memberi kesan kepada pasukan untuk menghadapi perlawanan sebenar selepas ini.

Aksi terdekat kami selepas ini adalah pada pusingan kelayakan ACL dan Piala Sumbangsih 2018, jadi adalah amat penting bagi pasukan untuk memberikan yang terbaik ketika kempen pramusim ini seterusnya mengekalkan momentum yang positif untuk perlawanan seterusnya,” katanya seperti dipetik di dalam laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers, hari ini.

JDT akan memulakan aksi pramusim berdepan Army United FC hari ini diikuti Choburi FC pada Sabtu sebelum menutup siri perlawanan persahabatan pra musim menentang Port FC pada Isnin depan. -Bernama

Lihat Komen