malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Tujuh gimnas rebut tiga slot ke Sukan Komanwel
Diterbitkan:  Jan 8, 2018 6:03 PM
Dikemaskini: 11:35 AM
ADS

Tujuh gimnas negara akan dinilai dan berpeluang mengisi tiga lagi slot acara gimnastik berirama (gimrama) bagi Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia pada April ini.

Timbalan Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Petrina Low berkata senarai akhir tidak akan diumumkan lagi sebaliknya hanya akan diketahui selepas pihaknya menghantar senarai nama akhir kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada akhir bulan ini.

"Kita mahu berlaku adil kepada semua gimnas, tidak mahu mendedahkan nama terlebih dahulu sehingga keputusan muktamad telah dibuat. Mereka akan menjalani sesi latihan intensif di Uzbekistan pada awal Februari ini.

"Seterusnya mereka akan menyertai Kejohanan Grand Prix di Moscow sebelum balik Malaysia," katanya yang menyasarkan satu pingat emas daripada skuad gimrama.

Petrina berkata sasaran pingat emas itu diletakkan kepada acara berpasukan gimrama namun sebarang warna pingat daripada empat apparatus yang dipertandingkan adalah bonus.

Tujuh gimnas tersebut ialah Koi Sie Yan, Amy Kwan, Izzah Azman, Chong Lok Yi, Tammy Ng, Nur Naieme Zainul Ariffin dan N.Shasangari.

Sementara itu, bagi acara artistik lelaki pula, MGF menyenaraikan Jeremiah Loo Phay Xing dan Tan Fu Jie dan sebagai persediaan ke Sukan Komanwel dan gimnas artistik akan menyertai pertandingan Piala Dunia di Melbourne pada Februari dan Kejohanan Dunia di Doha pada Mac.

Bagi gimnastik artistik wanita pula, tiga gimnas telah mengesahkan slot manakala satu lagi kekosongan akan dimuktamadkan pada akhir bulan ini.

Tiga gimnas tersebut ialah Farah Ann Abdul Hadi, Tracie Ng dan Tan Ing Yuen manakala satu lagi slot menjadi rebutan Nur Azira Aziri, Lavinia Jayadev dan Nur Eli Ellina Azmi.

- Bernama

Lihat Komen