malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Rusa bawa pulang harapan dari Kemboja
Diterbitkan:  Jan 8, 2018 5:50 PM
Dikemaskini: 10:01 AM
ADS

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pasukan Negeri Sembilan mampu memberi saingan yang baik pada Liga Super musim ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata sepanjang dua hari di Kemboja bagi menyaksikan perlawanan persahabatan antara skuad Rusa menentang kelab Kemboja, beliau lihat wujud peningkatan prestasi pasukan skuad Rusa tahun ini.

"Ini kerana lima pemain import yang kita ambil ini jelas merupakan pemain yang mempunyai kualiti yang tersendiri," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas persiapan skuad Rusa menghadapi Liga Super musim ini di Seremban, hari ini.



Skuad Rusa yang dibimbing pengendali dari Jerman, Jorg PeterSteinnebrunner dan dibantu Mohd Asri Ninggal mengadakan persediaan pramusim dengan menyertai beberapa aksi persahabatan menentang kelab Kemboja di negara itu mulai 4 hingga 11 Jan depan.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya pemain tempatan dapat menyesuaikan diri dengan cara permainan mereka (pemain import) dan bersama-sama sebagai satu pasukan.

"Insya-Allah saya rasakan, pasukan Negeri Sembilan yang baharu masuk semula bersaing dalam Liga Super musim ini akan memberi saingan yang baik.

"Biarpun mengakui cabaran saingan Liga Super musim ini dilihat berbeza berbanding musim lalu terutama dari segi persiapan pasukan bertanding, namun saya yakin Negeri Sembilan ada kelebihan untuk menjadi pencabar terkuat menerusi kombinasi mantap pemain tempatan serta import,” katanya.

Mohamad berkata beliau turut menyasarkan pasukannya untuk mencapai kelompok lima pasukan teratas Liga Super dan meraih sekurang-kurangnya satu piala.

Pada musim ini Negeri Sembilan diperkuatkan dengan lima pemain import iaitu Kim Do Heon (Korea Selatan), Flavio Beck Junior (Brazil), Nicolas Velez (Argentina), Renars Rode (Latvia) dan Madhu Mohana (Singapura).

Negeri Sembilan kembali bersaing dalam Liga Super musim 2018 selepas bergelut selama empat musim berturut-turut dalam saingan Liga Perdana, sejak 2014.

- Bernama

Lihat Komen