malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Pemuda HARAPAN pertahan janji siaran percuma EPL
Diterbitkan:  Jan 8, 2018 5:13 PM
Dikemaskini: 9:24 AM
ADS

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) Nik Nazmi Nik Ahmad mempertahankan salah satu tawaran yang dibentangkan pada Konvensyen Pemuda HARAPAN tempoh hari, iaitu memberikan siaran perlawanan bola sepak antarabangsa termasuk Liga Perdana Inggeris di RTM, jika pembangkang memperoleh mandat mentadbir negara selepas PRU14 nanti.

Nik Nazmi berkata ia bagi menamatkan monopoli Astro terhadap hak siaran Liga Perdana Inggeris itu.

"Satu tawaran yang mencuri tumpuan adalah menamatkan monopoli hak siaran Liga Perdana Inggeris sehingga mendapat tentangan daripada Menteri Belia dan Sukan serta Ketua Pemuda Umno-BN Khairy Jamaluddin sendiri.

"(Ia) sebahagian daripada teras kelima Tawaran Harapan Anak Muda iaitu pembangunan sukan, rekreasi dan keseimbangan kehidupan-kerja," kata Nik Nazmi.

Ketua Pemuda PKR itu juga menempelak bidasan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin terhadap tawaran Pemuda HARAPAN itu.

"Khairy menyatakan bahawa wang yang akan diperuntukkan sepatutnya lebih baik digunakan untuk membangun infrastruktur sukan.

"Kami tidak menidakkan keperluan (itu). Apa yang perlu dijelaskan di sini adalah tawaran hak menyiar EPL tersebut adalah memberi peluang anak muda menikmati pengisian televisyen yang berkualiti," kata Nik Nazmi dalam suatu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata rakyat biasa tidak dapat menikmati hak siaran eksklusif EPL milik Astro itu kerana ia melibatkan pembayaran yuran yang tinggi.

"Adakah hak ini hanya boleh diberikan kepada orang kaya dan mampu?

"Kita lihat sahaja setiap hujung minggu restoran mamak dipenuhi orang ramai semata-mata untuk menonton perlawanan EPL.

Tarikan komersil, pengiklanan

Menurut Nik Nazmi EPL mempunyai tarikan komersial yang tinggi dan RTM mampu meningkatkan pendapatan daripada pengiklanannya.

Ketua Pemuda Umno sebelum ini dilaporkan media tempatan menyifatkan janji itu sebagai tidak masuk akal dan bertanggungjawab.

Khairy berkata lebih baik duit yang hendak digunakan untuk membuat siaran langsung perlawanan bola sepak itu digunakan membina kompleks sukan di seluruh negara bagi manfaat rakyat keseluruhan.

Menjawab bidasan Khairy itu, Nik Nazmi menekankan soal pengurusan dana negara yang lebih telus, tanpa ketirisan dan penyelewengan.

"Khairy tiba-tiba prihatin tentang wang untuk hak penyiaran.

"Tetapi mengapa kepedulian yang sama tidak ditunjukkan kepada wang yang lesap menerusi skandal 1MDB, FELDA dan Kementerian Belia dan Sukan sendiri yang mencecah ratusan juta malah berbilion ringgit," soal Nik Nazmi.

Lihat Komen