malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Import Brazil Pacheco perkuat skuad S'ngor
ADS

Pertahanan import dari Brazil, Willian Silva Costa Pacheco yang menandatangani kontrak bersama juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali, Selangor bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2018 tiba di tanah air, semalam.

Pemain berusia 25 tahun itu yang beraksi bersama kelab Liga 1 Indonesia, Persija Jakarta musim lalu, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memulakan sesi latihan pra musim bersama skuad Gergasi Merah sebagai persiapan menghadapi musim 2018 yang lebih kompetitif.

Kehadiran bekas pemain skuad Bawah 20 tahun (B-20) Brazil itu dilihat mampu menguatkan kembali jentera pertahanan Selangor selepas ketiadaan tonggak B-23 kebangsaan, Adam Nor Azlin yang menyertai juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selain bertindak di bahagian pertahanan, Pacheco yang memiliki ketinggian 1.95 meter turut mampu memainkan peranan ketika menyerang apabila beliau sebelum ini berjaya menjaringkan lima gol sepanjang 60 penampilan bersama Persija Jakarta.
Beliau turut merekodkan 16 gol dalam 27 penampilan sewaktu mewakili pasukan R. Charleroi S.C dalam saingan ‘Belgian First Division A’ yang merupakan kelas liga tertinggi di Belgium bagi musim 2012-2013.


Dalam pada itu, Selangor di bawah kendalian ketua jurulatih P. Maniam terus mengekalkan tradisi mempertaruhkan bakat muda apabila turut membawa masuk dua tonggak B-23 Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn, selain mengikat penyerang 21 tahun dari Negeri Sembilan, Sean Eugene Selvaraj.

Pada masa sama, Maniam turut ‘menaikkan pangkat’ lapan pemain muda yang berjaya membantu Selangor merangkul gelaran juara Piala Presiden 2017, ke dalam skuad senior.

Sebagai rekod, Selangor gagal meraih sebarang gelaran dalam mana-mana pertandingan tempatan musim lalu dan hanya menamatkan saingan Liga Super 2017 di tangga keenam, 16 mata di belakang JDT yang mengumpul 49 mata untuk mempertahankan gelaran buat kali keempat berturut-turut.


-Bernama
 

Lihat Komen