malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Liridon kekal 'terbang' bersama Lang Merah
Diterbitkan:  Jan 7, 2018 10:43 PM
Dikemaskini: 2:46 PM
ADS

Pemain tengah Kedah, Liridon Krasniqi, kekal bersama skuad Lang Merah musim ini biar pun khabar akhir menyatakan dia akan berhijrah ke sebuah kelab divisyen satu di Perancis

Ketua Jurulatih Kedah, Ramon Marcote, berkata pemain kelahiran Kosovo​​​​​​ berusia 26 tahun itu - yang kini bercuti bersama keluarganya - akan menyertai pasukan Kedah di Surabaya, Indonesia sempena kejohanan Piala Super Suramadu dari 8 hingga 12 Jan ini.

“Liridon mendapat tawaran menjalani ujian bersama sebuah kelab divisyen satu di Perancis dan kami gembira dia mendapat tawaran daripada pasukan terbaik di Eropah.

“(Bagaimanapun), dia masih pemain Kedah kerana mempunyai baki kontrak, dan akan menyertai kami di Surabaya pada hari terakhir kejohanan berkenaan,” kata Marcote seperti dipetik dalam laman Facebook Persatuan Bola Sepak Kedah hari ini.

Baru-baru ini, sebuah portal berita di luar negara mendakwa kelab Angers Sporting di Perancis berminat mendapatkan khidmat Liridon dan bersedia menebus kontraknya dengan Kedah.

Liridon menyertai Kedah dari kelab di Turki, Fethiyespor, pada 2015 dan mempamerkan prestasi cemerlang bersama skuad Lang Merah pada musim lepas.

Aksinya dalam Liga Super menyaksikan dia meraih anugerah Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Popular pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2017, baru-baru ini.

- Bernama

Lihat Komen