malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Sivasangari, Aifa mara ke suku akhir
Diterbitkan:  Jan 5, 2018 4:39 PM
Dikemaskini: 8:52 AM
ADS

Pemain skuasy remaja kebangsaan, S.Sivasangari dan Aifa Azman meneruskan kecemerlangan pada Kejohanan Remaja Terbuka Britain selepas berjaya melangkah ke peringkat suku akhir, Khamis.

Dalam kategori wanita bawah 19 tahun, Sivasangari, selaku pilihan utama, mengalahkan pemain England, Karina Tyma 11-7, 11-7, 11-5 dalam hanya masa 20 minit pada saingan pusingan ketiga manakala rakan senegara, Lai Wen Li terkandas apabila tewas kepada wakil Jepun, Satomi Watanabe, 11-4, 11-2 dan 11-5.

Sivasangari, yang merupakan pemain nombor dua negara dan ranking ke-45 dunia, akan berdepandengan pemain Singapura, Au Yeong Wai Yhann, di peringkat suku akhir esok.

Sivasangari merupakan juara kejohanan itu bagi kategori bawah 15 tahun pada 2014.

Sementara itu, dalam kategori wanita bawah 17 tahun, Aifa hanya memerlukan masa 20 minit untuk mengesahkan slot suku akhir selepas dengan mudah mengetepikan pemain New Zealand, Kaitlyn Watts 11-3, 11-8, 11-7 manakala nasib tidak menyebelahi seorang lagi pemain negara, Jessica Keng Jia Hui.

Jessica dengan mudah tunduk kepada pemain Mesir, Farida Mohamed, 11-3, 11-3, 6-11, 11-5.

Cabaran pemain lelaki negara dalam kategori bawah 19 tahun berakhir selepas Ong Sai Hung tewas kepada pemain Mesir, Ahmed Elmashad 11-1, 11-9, 11-8 pada pusingan keempat manakala Darren Rahul Pragasam tersingkir pada pusingan ketiga di tangan pemain Republik Czech, Ondrej Vorlicek 7-11, 11-7, 7-11, 11-1, 7-11.

Nasib sama menimpa dalam kategori bawah 17 tahun apabila wakil negara, Shahrul Izham Nurhaqiem dan Duncan Yung Yii Lee masing-masing kalah kepada pemain India, Saksham Choudhary 4-11, 11-6, 14-16, 11-4, 6-11 dan pemain Mesir, Karim Abelalim 9-11, 14-16, 5-11.

Adik perempuan Aifa, Aira turut melangkah ke suku akhir dalam kategori wanita bawah 15 tahun selepas mengalahkan pemain India, Aishwarya Khubchandani, 11-3, 11-8, 11-3 manakala pilihan kedua, Muhammad Amir Amirul Azhar meneruskan cabaran dalam kategori lelaki bawah 15 tahun selepas mengalahkan pemain Mesir, Ismail Mansour 6-11, 11-5, 11-3, 11-3.

Dalam kategori wanita bawah 13 tahun, dua wakil negara, Sehveetrraa Kumar dan Tanusaa Uthrian turut layak ke suku akhir.

Sehveetrraa mengalahkan pemain Amerika Syarikat, Madison Ho, 11-4, 11-3, 11-8, manakala Thanusaa mengatasi pemain Kanada, Iman Shaheen, 11-4, 11-4, 11-2.

Dalam kategori wanita bawah 11 tahun, wakil negara, Whitney Isabelle Wilson dengan mudah mengatasi wakil tuan rumah, Shae Paterson, 11-1, 11-0, 11-0 untuk menentang pemain Mesir, Jana Amr pada perlawanan suku akhir.

Turut menempa slot suku akhir dalam kategori lelaki bawah 11 tahun ialah pemain negara, Wong Lee Hong yang mengatasi pemain Mesir, Ali Siam, 11-7, 11-9, 4-11, 13-11 dan M. Nickhileswar yang menundukkan pemain tuan rumah, James Lee, 11-4, 11-4, 11-6. -Bernama

Lihat Komen